Dua Beranak Ditemukan Lemas Ketika Memancing

KUDAT: Dua beranak yang dilaporkan hilang ketika memancing sejak Jumaat ditemukan lemas di pesisir pantai berhampiran pusat peranginan Tampakan pada12 tengah hari semalam.

Kedua-dua mayat mangsa iaitu Jobik Mokim, 47, bersama anak lelakinya Nick Hezron, 18, ditemukan terdampar di pesisir pantai berhampiran pusat perangan itu tengah hari semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang semasa keluar memancing pada Jumaat lalu.

“Kehilangan mangsa hanya disedari setelah bot yang digunakan dilihat tersadai tanpa kehadiran mangsa di Pantai Kampung Lok Dangkaan, Pitas pada Sabtu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berikutan penemuan bot itu, keluarga mangsa terus membuat laporan kepada pihak berkuasa dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Katanya, operasi SAR mula dijalankan pada 7.51 pagi semalam di sekitar kawasan pesisir pantai dan kawasan bakau berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Kemudian JBPM dimaklumkan tentang penemuan mayat di pesisir pantai berhampiran sebuah pusat peranginan.

“Sebaik tiba dilokasi kejadian, JBPM menemukan mangsa pertama yang dipercayai Jobik sebelum menemukan mangsa kedua iaitu Nick selang beberapa minit kemudian. Kedua-dua mayat mangsa diangkat menggunakan bot JBPM,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

Operasi SAR itu ditamatkan pada 1.55 petang dan pasukan bomba terus bergerak pulang ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat yang terletak 10 kilometer dari lokasi kejadian.