Dua Beradik Lemas Semasa Mandi Di Anak Sungai

KOTA KINABALU: Dua beradik ditemukan lemas semasa melakukan aktiviti mandi-manda di sebuah anak sungai di Jalan Beringgis-Kawang Papar pada Isnin.

Kedua-dua kanak-kanak lelaki berusia berusia 11 dan 12 tahun ditemukan lemas semasa mandi di anak sungai berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, semasa kejadian, kedua-dua kanak-kanak yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kawang itu difahamkan mengikut ibu dan neneknya mencari lokan di kawasan berhampiran.

Namun, kedua-dua mangsa telah pergi ke sebuah anak sungai di kawasan tersebut untuk mandi-manda sebelum ditemukan lemas di sungai berkenaan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua mangsa telah ikut ibu dan nenek mereka untuk mencari lokan di tepi Jalan Beringgis-Kawang.

“Kedua-dua mangsa kemudian telah mandi di satu anak sungai di kawasan tersebut manakala, ibu dan nenek mereka mencari lokan di kawasan berhampiran.

“Kanak-kanak lelaki itu disedari lemas oleh ibu dan nenek mereka sebelum ibunya meminta bantuan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Kamaruddin berkata, nenek mangsa telah pulang ke rumah mereka di Kampung Kawang bagi mendapatkan bantuan orang kampung.

Dengan bantuan penduduk kampung kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari anak sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Papar dan disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini tidak terdapat sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).