Dua Aset Brunei Sertai Pencarian Enam Mangsa Bot Karam

kapal Tentera Laut Diraja Brunei KDB Bakti, membantu pencarian mangsa di perairan negara itu.
Kapal Tentera Laut Diraja Brunei KDB Bakti, membantu pencarian mangsa di perairan negara itu.

KOTA KINABALU – Dua aset Brunei menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa bot karam yang masih hilang sejak Sabtu lepas.

Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini, helikopter S92 milik pihak berkuasa Brunei dan kapal Tentera Laut Diraja Brunei KDB Bakti, membantu pencarian mangsa di perairan negara itu.

“Luas sektor pencarian kini meliputi 2,400 batu nautika persegi,” kata kenyataan itu.

Pada asalnya, kawasan pencarian meliputi 400 batu nautika persegi meningkat kepada 1,400 batu nautika persegi selepas 25 mangsa ditemui di perairan Semarang, dekat Labuan, semalam.

Pada hari ketiga operasi SAR, lima kapal (KM Adil, KM Berani, KM Mabul, Kilat 40 dan Kilat 23) dua pesawat — Bombardier dan AW139 milik APMM terlibat dan empat kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (KD Ganas, KD Serang, CB 203 dan CB 204) serta sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia C130.

SAR itu turut membabitkan empat kapal pasukan Polis Marin (PA 12, RH 29, RH 51 dan PSC 1) dan dua pesawat pasukan Gerakan Udara iaitu 9M-PHH dan 9M-PHK.

Bot jenis katamaran itu yang membawa tiga anak kapal dan 28 pelancong dari China dipercayai karam disebabkan angin kencang dan ombak besar pada 10 pagi Sabtu, sejam selepas mereka meninggalkan jeti Tanjung Aru di sini menuju Pulau Mengalum, destinasi pelancong kira-kira 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu.

Antara 20 orang pelancong China yang selamat, tiba di jeti polis marin Kota Kinabalu awal pagi Isnin. Kesemua mereka terus dihantar ke hospital Queen Elizabeth 1.
Antara 20 orang pelancong China yang selamat, tiba di jeti polis marin Kota Kinabalu awal pagi Isnin. Kesemua mereka terus dihantar ke hospital Queen Elizabeth 1.

Semalam (Ahad), 20 pelancong warga China diselamatkan di perairan Semarang dekat Labuan, manakala tiga lagi pelancong China terkorban dalam tragedi itu.

Dalam perkembangan lain identiti enam mangsa yang masih hilang dalam tragedi bot pelancong karam telah dikenal pasti, merangkumi lima warga China dan seorang kru, kata APMM.

Dalam satu kenyataan di sini, APMM berkata warga China terbabit dikenal pasti sebagai Sheng Jiang Jiang (lelaki/50 tahun); Dong Mei (wanita/umur tidak dinyatakan); Li Qun (gender/ umur tidak dinyatakan); Luo Hong Yuan (lelaki/ 51) dan Lu Gua Hang (lelaki/25).

Kru yang hilang pula dikenal pasti sebagai Absoy Kasim (lelaki/umur tidak dinyatakan).

Pihak berkuasa juga mengenal pasti identiti seorang lagi mangsa yang maut yang dibawa balik awal hari ini sebagai lelaki warga China, Xie Luo, 48 tahun.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan meliputi kawasan pencarian seluas 1,500 batu nautika persegi, kata APMM.