Dua Adik Beradik Dari K’gau Bangga Lagu ‘Original Sabahan’ Meletup

15818

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kemeriahan ribuan yang berkunjung ke majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Krismas peringkat negeri baru-baru ini diceriakan lagi dengan dendangan lagu Original Sabahan oleh kugiran tempatan, Atmosfera.

Ahli kumpulan Atmosfera, Hezron Rayner, 26, dan adiknya, Hazrenol, 24, berkata, mereka berasa bertuah dan amat berbangga kerana diberi kesempatan menyanyikan lagu yang kini popular itu di pentas sambutan Krismas yang turut disambut keluarga mereka.

“Seperti di dalam lirik lagu itu, kami berdua berasal dari Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau dan kebanyakkan persembahan kami adalah di Sabah,” kata Hezron.

Kampung Nuntunan Apin-Apin terletak lebih 100 kilometer dari ibu negeri Sabah.

Klip video Original Sabahan kini telah ditonton lebih 16 juta kali di YouTube sejak dilancarkan pada Mei tahun lalu.

Populariti lagu berkenaan turut mendapat tumpuan di luar negara apabila beberapa penulis lirik dari Korea Selatan, Filipina, Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) turut menghasilkan video masing-masing mengulas tentang cara persembahan lagu itu yang amat menarik.

Lagu terbitan Rusa Music dan turut menampilkan kumpulan tempatan, Floor 88 itu telah dimainkan oleh pancaragam daripada tentera Marin AS dalam lawatan mereka ke Sabah awal tahun ini.

Hazrenol yang turut dikebali sebagai Ganak berkata, mereka tidak pernah menyangka lagu tersebut akan meletus sehingga meningkatkan populariti mereka termasuk di peringkat komuniti antarabangsa.

“Ketika melancarkan lagu itu sempena Hari Kaamatan, kami tidak pernah menjangkakan popularitinya seperti hari ini. Kami amat terkejut apabila lagu itu meletup,” katanya.

Menurutnya, lagu tersebut berjaya menimbulkan rasa bangga terhadap negeri sendiri dalam diri rakyat Sabah kerana berlatar belakangkan Gunung Kinabalu dan kawasan-kawasan cantik di seluruh negeri.

“Selamat Tahun Baharu kepada rakan-rakan, keluarga dan peminat kami. Terima kasih kerana menjadi tulang belakang kami, teruskan menyokong kami,” tambahnya.