DSP Mursalin Dilantik Ketuai Bahagian Siasatan Jenayah Tawau

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Deputi Superintenden Mursalin Mahmud dilantik menjadi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bermula hari ini.

Beliau menggantikan Asisten Superinteden Cheong Soon Yew yang memangku jawatan tersebut sejak Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, Mursalin mempunyai rekod yang baik sebagai pegawai polis di peringkat kontinjen negeri ketika bertugas di IPD Papar dan mempunyai pengalaman luas.

“Oleh itu, saya yakin dan percaya dengan kehadiran beliau di sini, akan mampu menambah baik barisan IPD Tawau dalam menjalankan tugas termasuk menangani jenayah yang ada.

“Dalam masa sama, saya mengucapkan terima kasih kepada Soon Yew kerana menjalankan tugas dengan baik sepanjang dilantik sebagai pemangku KBSJ,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, Peter menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Terima Tugas antara Mursalin dan Soon Yew.

Sementara itu, Mursalin berkata, ini adalah pertukarannya yang ke 14 membabitkan lima kontinjen negeri sepanjang bertugas sebagai polis.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai KBSJ yang baharu di sini,” katanya.