Dr Yusof: Sabah Job Portal Diperkasa Mudahkan Graduan Dapat Pekerjaan

Yusof menyampaikan surat lantikan kepada salah seorang guru interim

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Langkah memperincikan data dalam Sabah Job Portal mengikut jurusan dilihat sebagai usaha awal kerajaan untuk menangani masalah pengganguran di Sabah.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasakan lagi portal pekerjaan berkenaan.

“Portal ini memang sudah ada tapi kita akan perbesarkan pangkalan data supaya ianya lebih praktikal.

“Ia bukan hanya memudahkan graduan mencari pekerjaan tetapi juga memudahkan pihak berkepentingan mendapatkan pekerja mengikut bidang yang diperlukan industri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Lantikan dan Penempatan Guru Interim Pendidikan Islam fasa empat dan lima Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Multaqa Skim Latihan Industrial Based Tabung Haji 2018, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kementerian itu juga akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan portal pekerjaan itu supaya semua graduan mendaftar dengan portal berkenaan.

Sebahagian guru interim yang mengangkat sumpah dalam majlis berkanaan

Dalam masa yang sama, kementerian itu juga akan bekerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi memasukkan nama graduan universiti secara automatik dalam portal itu mengikut jurusan masing-masing.

Setakat ini, terdapat lebih kurang 27,000 graduan menganggur yang masih belum berdaftar dengan portal ini dan beliau berharap kesemua mereka akan mendafta menjelang hujung tahun ini.

Yusof berkata, kementerian itu juga akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta yang ada di Sabah bagi memudahkan mereka mencari pekerja yang diperlukan menerusi portal pekerjaan berkenaan.

Beliau berkata, menjelang tahun 2023 kerajaan dijangka mampu menyediakan 650,000 peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan Sabah.

Katanya, usaha itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran di Sabah.

Dalam majlis itu, seramai 56 guru interim menerima surat lantikan dan penempatan untuk sekolah rendah dan menengah.