Dr Mahmud Tunai Tanggungjawab Mengundi Di SK Sungai Manila

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Prof Dr Mahmud Sudin selesai mengundi di Pusat Mengundi Sungai Manila di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manila, di sini, hari ini.

Mahmud yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila membuang undi pada jam 10.15 pagi dan meluangkan masa kira-kira 10 minit bertemu orang awam di pusat itu.

Mahmud berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Liberal Demokratik dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO) di kerusi itu.

Ketika ditemui, Mahmud berkata, beliau gembira dapat menunaikan tanggungjawab sebagai wargangara dan dalam masa sama bertemu dengan orang ramai.

Katanya, kebanyakan mereka yang ditemui mengenalinya dan faham apa yang diaspirasikan Warisan.

“Apabila terima ‘respond’ begini, kita yakin (boleh menang pada PRN) kerana sambutan memberangsangkan.

“Namun, semua itu (keputusan) adalah terletak di tangan pengundi sekarang,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan tinjauan, orang ramai mula berbaris di pusat mengundi itu bermula sejak awal pagi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).