Dr Mahathir Sahkan Mohd Shafie Calon Perdana Menteri

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dipilih sebagai calon Perdana Menteri dalam pertemuan pemimpin Pakatan Harapan Plus (PH Plus) di Rumah Tetamu Sabah, Kuala Lumpur kelmarin.

Dr. Mahathir berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing dicadangkan sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan Timbalan Perdana Menteri 2.

Beliau berkata, cadangan itu mendapat persetujuan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang turut hadir.

Berikut kenyataan penuh Dr. Mahathir:

Tuan-tuan dan puan-puan saya telah mengadakan satu pertemuan dengan kumpulan yang menyokong saya dan rakan-rakan daripada parti Amanah Warisan dan DAP pada 25 Jun 2020 bertempat di rumah tetamu Sabah Kuala Lumpur

Perbincangan yang diadakan secara tidak formal dihadiri oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, yang berhormat Mohamad Sabu, yang berhormat Tan Kok Wai dan yang berhormat Lim Guan Eng dan beberapa lagi.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Wira Marzuki Yahya turut menyertai pertemuan ini. Kami membincang banyak perkara berkenaan keadaan negara pada masa kini dan masing-masing melahirkan rasa risau terhadap beberapa perkembangan semasa.

Semasa perbincangan telah timbul beberapa cadangan mengenai hala tuju perjuangan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat yang telah dirampas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan konco-konconya dan menubuh kerajaan pintu belakang menggantikan kerajaan yang dipilih rakyat semasa pilihan raya ke-14 dalam bulan Mei 2018.

Di dalam perbincangan saya terbuka kepada apa juga cadangan termasuk saya tidak dicalonkan sebagai bakal Perdana Menteri, di antara cadangan yang dikemuka ialah pencalonan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.

Kami sebulat suara bersetuju Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri saya menyokong penuh cadangan ini yang penting ialah kita mempunyai pendirian yang tegas supaya rakyat tahu akan pendirian kita.

Kami juga bersetuju mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 dan Mukhriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

Mungkin ada yang bertanya kenapa Mohd Shafie dicalonkan, mungkin ada yang sudah lupa bahawa Mohd. Shafie adalah salah seorang pemimpin asal menentang kerajaan kleptokrasi sejak sebelum pilihan raya ke-14.

Beliau juga salah seorang pemimpin yang menjadi mangsa awal kerajaan Najib dan telah disingkir daripada jawatan menteri dan Naib Presiden UMNO kerana tidak dapat menerima perbuatan rasuah dan pencurian wang rakyat menerusi skandal 1MDB yang begitu memualkan.

Mohd. Shafie ketika itu bersama-sama dengan Muhyiddin, kini Muhyiddin meninggalkan perjuangan dan kembali bersama dengan kerajaan kleptokrasi yang dahulu menghkum dan menyingkirnya.

Saya percaya jika langkah kami berjaya ia akan merapatkan lagi hubungan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Saya juga percaya apa yang kita cadangkan ini dapat diterima oleh rakyat sebagai bukti bahawa personaliti-personaliti di dalam parti pembangkang tidak utamakan kedudukan dan jawatan mereka.

Yang penting ialah meneruskan perjuangan yang dimulakan sejak tahun 2015 untuk membersihkan negara daripada kerosakkan yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan ketika itu kerana sikap tamak, bongkak dan kepentingan diri.

Sepeti yang kita sedang saksikan perbuatan yang kita tentang dahulu sudah mula bertapak dan pemimpin dan penyokong kleptokrasi sudah kembali.

Parlimen akan bersidang tidak lama lagi saya akan kemuka usul tidak percaya kepada kerajaan pimpinan Tan Muhyiddin Yassin.

Insya Allah dengan sokongan Ahli Parlimen yang tidak boleh menerima kerajaan pintu belakang Tan Sri Muhyiddin dan mahu mengembalikan mandat rakyat akan bersama-sama saya dan rakan-rakan lain menyokong usul Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menjadi Perdana Menteri.

Jika usaha ini berjaya langkah untuk pastikan asas demokrasi seperti yang dituntut oleh rakyat akan dapat kita penuhi.

Kita perlu tamatkan kerajan yang tidak dipilih rakyat.