Dos Penggalak: Kerajaan Disyor Laksana Kaedah Guna Vaksin Berbeza Dos Asal – Khairy

KUALA LUMPUR: Kerajaan disyor untuk meneruskan dengan heterologous vaccination atau penggunaan vaksin yang berbeza daripada vaksin asal yang diterima oleh seseorang individu, menerusi pemberian dos penggalak bermula bulan ini. 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata syor itu dikemukakan Jawatankuasa Kecil Teknikal yang dipengerusikan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M.

Peariasamy kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada mesyuarat minggu lepas. 

“Kajian berkenaan keselamatan ini telah pun dilaksanakan dan disyorkan untuk kita teruskan dengan  program vaksin heterologus kita,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) di Dewan Rakyat hari ini berhubung perkara itu.

Sebelum ini kerajaan mempertimbangkan kaedah campuran dua vaksin berkenaan sebagai sebahagian pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ( PICK) bagi meningkatkan antibodi peneutralan serta keberkesanan vaksin berikutan banyak negara sudah berbuat demikian.

Sarawak memulakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 bulan ini, sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif itu dengan fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung situasi COVID-19 di Sarawak, Khairy berkata pihaknya amat prihatin terhadap situasi semasa di negeri itu dengan kes harian yang masih tinggi walaupun sebahagian besarnya kategori satu hingga tiga.

Beliau berkata terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan perkara itu antaranya pembukaan awal sektor ekonomi daripada negeri lain dan kesan vaksinasi yang mungkin sudah mula menurun dan perlu dos penggalak untuk golongan tertentu. 

“Kami juga melihat trend jangkitan masih ada banyak kluster di Sarawak melibatkan rumah panjang, dan aspek lain seperti varian, jenis vaksin dan sebagainya, dan kita akan buat pendekatan yang sepatutnya untuk pastikan kadar jangkitan di Sarawak dapat diturunkan,” katanya. 

Beliau berkata KKM juga menghantar National Rapid Response Task Force di bawah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Chong Chee Kheong yang ketika ini berada di Sarawak.

Jelasnya separuh daripada task force itu berada di Kuching dan separuh lagi di Sibu bagi melihat bagaimana kapasiti hospital terutamanya katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dapat ditingkatkan bagi menampung pesakit kategori empat dan lima. 

“Dalam keadaan kes meningkat, adalah sangat penting untuk sistem kesihatan awam menyediakan katil-katil kritikal iaitu katil ICU, ini adalah satu langkah awal untuk negeri-negeri lain mungkin kalau ada gelombang dan varian seterusnya kita dapat respons dengan baik,” katanya.