Dos Penggalak Babitkan 7,000 Anggota Divisyen Kelima Infantri

KOTA KINABALU: Seramai 7,000 anggota Divisyen Kelima Infantri Sabah akan diberikan dos penggalak vaksin Covid-19 dalam tempoh terdekat.

Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, pemberian dos penggalak ini bagaimanapun akan diberi keutamaan kepada anggota tentera terlebih dahulu sebelum dibuka kepada ahli keluarga dalam markas Divisyen Kelima Infantri.

“Setakat ini, kita telah mendapat arahan untuk memberikan dos penggalak iaitu vaksin dos ketiga kepada semua barisan hadapan atau warga tentera. Jadi, kita akan mulakan pemberian dos penggalak mungkin pada minggu hadapan dan kita harap dapat dihabiskan pemberian dos ketiga ini sebelum hujung November,” katanya dalam sidang media selepas Hari Bersama Media, di Lokkawi hari ini.

Menurutnya, pemberian dos penggalak itu diharap dapat mempersiapkan anggota untuk melaksanakan tugas di medan dengan lebih selamat.

Selaras dengan itu, Combat Medic Vaccination Team (CMVT) akan meneruskan program jiwa murni dengan membawa pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke kawasan pedalaman bagi memberikan vaksin dos penggalak.

Sehingga kini, sebanyak 26 program jiwa murni CMVT telah dilaksanakan seluruh Sabah bagi pemberian vaksin dos pertama dan kedua membabitkan lebih 20,000 orang penerima vaksin.

Mohd Halim berkata, program bersama media itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada petugas media mengenai latihan menembak yang dilakukan anggota Divisyen Kelima Infrantri sebagai langkah bersiap-siaga untuk berhadapan ancaman di sempadan negara.

Dalam program itu, pengamal media berpeluang menyertai acara menembak pool bull, menembak individu dan juga jatuh piring.