Dorsett Labuan Rai Kanak-Kanak Istimewa Berbuka Puasa

599

LABUAN: Sekumpulan 23 orang kanak-kanak istimewa dan penjaga mereka diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di hotel Dorsett Grand Labuan Khamis malam.

Setiap orang daripada mereka menerima hadiah dan duit raya yang disampaikan oleh Pengurus Besar hotel itu, Masni Shaik Dali dan presiden Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) yang juga ketua pegawai eksekutif Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman dan isterinya Datin Seri Norsiah Abdullah.

Majlis sumbangan amal dan berbuka puasa itu turut disertai oleh Etiqa Offshore, LLPM, Jabatan Perikanan Labuan, HMD Tours and Travel dan Thunder Cranes.

Kanak-kanak istimewa itu adalah dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Labuan dan PDK Mutiara.

Dorsett telah menganjurkan majlis berbuka untuk mereka yang kurang bernasib baik setiap tahun sejak 19 tahun lepas.

“Ia adalah sebahagian daripada senarai panjang tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan pihak hotel setiap tahun. Kami berasa adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menghulurkan bantuan sedaya mampu,” kata Masni.

Alias berkata inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat LLPM selain sebagai peringatan agar lebih prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik dan mensyukuri apa yang dimiliki orang lain.