Dongongon Chinese New Year Open Market’ Diadakan 2 Feb – Jenifer

1525

GAMBAR & BERITA Oleh EDDIE ANGAT
KOTA KINABALU: Buat julung kalinya Donggongon Chinese New Year Open Market 2019 akan diadakan sempena dengan Tahun Baharu Cina 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog Jenifer Lasimbang berkata, acara itu diadakan sebagai persediaan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina yang akan diraikan bermula pada 5hb Februari 2019.

“Donggongon open market ini akan diadakan tiga hari berturut-turut iaitu bermula pada 2 Februari jam 6.00 pagi dan berakhir pada 4 Februari pada jam 4.00 petang.

“Ia diadakan untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan meningkatkan pendapatan melalui jualan kepada pengunjung-pengunjung Donggongon CNY Open Market,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Jenifer Lasimbang, dua dari kiri, di pekan Donggongon pada Khamis.

Beliau berkata, pasar terbuka itu juga akan dijadikan platform untuk peniaga memperkenalkan dan mempromosikan produk-produk tempatan seperti makanan, kraftangan, kebudayaan serta adat resam unik yang terdapat di daerah Penampang.

Katanya, usaha itu juga mampu menjadikan barangan jualan sebagai satu produk pelancongan.

“Di samping itu, pasar terbuka yang diadakan ini juga diharapkan menjadi wadah perpaduan dan semangat kekitaan kepada penduduk di daerah Penampang yang terdiri daripada pelbagai etnik serta kaum.

“Penganjuran Donggongon CNY Open Market ini adalah dengan usahasama diantara Pejabat Adun Moyog, Pejabat Adun Kepayan, Persatuan Peniaga Tamu Donggongon Penampang Sabah dan juga Majlis Daerah Penampang,” katanya.

Beliau berharap dengan penganjuran pasar terbuka itu, ia boleh memberikan peluang kepada golongan petani mempamer dan menjual produk mereka.

Jenifer yang juga Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi berharap selepas penyertaan golongan petani dalam acara itu, agensi atau badan jabatan boleh tampil ke hadapan untuk membimbing golongan petani.

“Dengan pendekatan ini, secara tidak langsung ianya memberi gambaran program sedemikian memberi manfaat kepada rakyat dan juga menunjukkan kesungguhan peranan kerajaan sebagai pemangkin kepada peningkatan pendapatan dari pelbagai golongan petani, peniaga serta pengusaha.

“Sepanjang penganjuran itu, terdapat beberapa aktiviti yang telah disusun untuk memeriahkan lagi program ini.

“Antaranya pertandingan mewarna kategori kanak-kanak, persembahan, nyanyian, tarian singa dan banyak lagi.

“Perasmian Penganjuran Donggongon Chinese New Year Open Market akan diadakan pada 3 Februari bermula pada pukul 5.00 petang dan orang ramai dijemput hadir ke hari perasmian ini,” katanya.

Sementara itu, Jenifer turut menjelaskan, penutupan jalan raya berhadapan dengan Tamu Donggongon dan Bangunan Megalong akan dibuat dan mohon orang ramai patuhi arahan lalu lintas sepanjang penganjuran..

Katanya, pihak penganjuran mendapat sokongan daripada Jabatan Kerja Raya, Unit Polis Trafik dan juga unit Polis untuk memastikan penganjuran Donggongon Chinese New Year Open Market 2019 ini berjalan dengan lancar.