Disyaki Hidu Gam; Remaja Maut, Rakan Cedera Jatuh Dari Tingkat 8

Mayat remaja yang mati dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II untuk bedah siasat. – Gambar ihsan PDRM Kota KInabalu

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan Blok 2, Api-Api Centre, dekat sini, malam tadi (Jumaat).

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu Asisten Komisioner M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira 9.50 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 15 dan 16 tahun itu ditemui oleh pengawal keselamatan yang membuat pemeriksaan di Tingkat 2 blok berkenaan selepas terdengar bunyi seperti benda jatuh dari bahagian atas bangunan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati dua mangsa itu terbaring di lobi Tingkat 2, seorang tidak sedarkan diri dengan terdapat kesan cedera di bahagian kepala dan kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2.

“Manakala seorang lagi mangsa dalam keadaan cedera tetapi masih boleh bergerak.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa terjatuh dari bumbung Blok 2 (bangunan setinggi lapan tingkat).

“Pemeriksaan lanjut di bumbung itu, polis menemui plastik berwarna oren berisi tin gam, sebuah plastik putih berisi gam dan dua pasang selipar.

“Dipercayai kedua-dua mangsa menghidu gam sebelum mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari Sabtu.

Katanya mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dibawa ke HQE 1 untuk bedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, manakala mangsa cedera dibawa ke HQE 2 untuk rawatan lanjut.

Polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan, katanya.

BACA SELANJUT: –

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm