Disebabkan Sebuah Beg Plastik, Seekor Ikan Yu Ditemui Mati

725

KUALA PENYU: Sebuah beg plastik sepanjang 46cm dan selebar 32cm dipercayai punca yang mengakibatkan seekor ikan yu jantan seberat 150kg ditemui mati di Pantai Tanjung Aru, Menumbok.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata, pihaknya menerima laporan penemuan ikan yu itu dari seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menumbok.

Katanya, sebaik sahaja mendengar mengenai berita itu, beliau terus mengarahkan Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) untuk menjalankan siasatan mengenai penemuan bangkai ikan yu itu.

Pasukan WRU mendapati plastik sepanjang 46cm dan selebar 32cm tersekat pada bahagian usus perut haiwan berkenaan. Ia jelas membuktikan punca kematiannya adalah disebabkan halangan pada bahagian saluran gastousus hingga menyebabkan ianya mati kelaparan.

Augustine berkata, biarpun ikan yu tidak termasuk dalam hidupan yang dilindungi dibawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar, pihaknya amat prihatin dengan penemuan itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada hidupan mamalia lain yang akan turut terdampar di sepanjang pantai berkenaan. Maka, beliau mahu berada dalam keadaan berjaga-jaga.

”Pencemaran disebabkan plastik di lautan kita amat serius hingga mengancam hidupan marin .Ini seharusnya menjadi peringatan kepada kita bahawa pembuangan plastik perlu dilakukan dengan betul. Namun, adalah lebih baik jika kita langsung tidak menggunakan beg plastik.

”Itu adalah langkah terbaik dalam melindungi hidupan marin kita,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Perikanan Marin, Jabatan Perikanan Lawrence Kissol berkata, pihaknya telah mengambil sampel tisu dan cartiliginous skeleton untuk dianalisis bagi mengetahui umur ikan yu berkenaan. Bangkai ikan itu telah ditanam dikawasan berhampiran.

Lawrence berkata, ikan yu (Rhincodon typus) adalah spesis yang tidak dibenarkan diekspolit seperti ditangkap, dimakan mahupun dijual kerana ia termasuk dalam spesis yang dilindungi dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesis Terancam 2008.

Beliau berkata, kes yang hampir sama turut berlaku di Semenanjung Malaysia dimana, mamalia mati disebabkan pencemaran plastik yang disangka jellyfish.

Oleh itu beliau mahu pengurusan sampah dilakukan dengan cara yang betul demi melindungi hidupan marin di negara ini.