Diplomat, Ekspatriat Boleh Masuk Sabah Tanpa Permit Khas

KOTA KINABALU: Pembukaan semula sempadan negeri Sabah pada 1 November lalu turut memberi kelonggaran kepada diplomat dan ekspatriat termasuk tanggungan untuk masuk Sabah bagi lawatan sosial.

Untuk itu, mana-mana diplomat mahupun ekspatriat yang bermastautin di
Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan lawatan sosial tanpa memerlukan kelulusan khas masuk.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, walau bagaimanapun, golongan ini wajib memiliki pas-pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh untuk masuk ke Sabah.

Pemegang MyPR bukan Sabah / Kad Permit Masuk / Endosmen Permit Masuk dalam
Pasport yang sedang bermastautin di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan lawatan sosial tanpa memerlukan kelulusan khas masuk.

Golongan ini juga wajib mengemukakan pasport semasa pemeriksaan imigresen di pintu-pintu masuk Sabah.

Namun, kemasukan ke Sabah bermula 1 November masih tertakluk dengan syarat sudah menerima vaksin lengkap dan perlu mengemukakan keputusan saringan RT Covid-19 yang disahkan negatif bagi tujuan masuk ke Sabah.