Dihanyutkan Arus Ketika Menyeberangi Sungai, Kanak-Kanak Perempuan Ditemukan Lemas

KOTA MARUDU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari kebun di Kampung Melangkap Darat, di sini, semalam ditemukan lemas kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata mangsa, Elzanatira Asod, ditemui oleh penduduk kampung bersama pasukan pencari pada jam 11.15 pagi tadi, di sungai berkenaan.

Rony berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dimulakan jam 7 pagi di sepanjang sungai berkenaan.

“Ketika pencarian dilakukan, penduduk kampung menemui seluar milik mangsa, kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.

“Mangsa berjaya dijumpai oleh penduduk kampung bersama pihak bomba dan agensi bantuan lain, kira-kira tujuh kilometer dari tempat dia hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh polis.

Jenazah mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi SAR ditamatkan jam 12.30 tengah hari, katanya.

Mangsa dikhuatiri lemas ketika menyeberang sungai bersama ibunya sewaktu dalam perjalanan pulang dari kebun, kira-kira 4 petang semalam.