Digelar Parti Nyamuk, Warisan Mampu Tumbangkan Kerajaan GRS

LAHAD DATU: Parti Warisan (Warisan) meletak keyakinan mampu menumbangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, jika pada PRU-14, Warisan sebagai parti kecil mampu menumbangkan kerajaan BN dan itu jelas membuktikan keupayaan Warisan.

“Kita parti nyamuk, parti yang kecil tetapi parti yang kecil inilah yang telah menumbangkan BN.

“GRS tidak ada ubahnya dengan BN dulu, cuma bajunya ditukar. Dulu cuma satu bajunya biru, sekarang ini ada merah, ada oren, ada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), semuanya dalam BN.

“Jadi kita sudah biasa dengan keadaan yang berlaku, tanpa ada gabungan. Saya di Semporna ditentang beberapa penjuru tetapi Alhamdulillah kita menang,” katanya ketika diminta mengulas tentang kenyataan GRS menyatakan keyakinan mampu merampas kembali kerusi di Parlimen Lahad Datu.

Beliau berkata demikian semasa program ramah mesra bersama masyarakat Parlimen Lahad Datu, kelmarin.

Menurut beliau, rakyat berhak menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan Sabah pada PRU akan datang.

Jelasnya, bukan GRS yang menentukan siapa menjadi kerajaan sebaliknya,

“Yang menentukan siapa jadi kerajaan di Sabah, siapa yang jadi YB (wakil rakyat) ialah rakyat di Sabah.

“Kita tunggu apa keputusan rakyat, kita sedar kita parti yang kecil, kita parti nyamuk tetapi parti nyamuk inilah yang menumbangkan BN di Sabah,” katanya.

Pada PRU14, kerusi Lahad Datu dimenangi oleh Datuk Mohamaddin di bawah payung Warisan.

Warisan memenangi 14 kerusi Parlimen dan 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada awalnya.

Kemudian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyertai Warisan bagi membentuk kerajaan di peringkat negeri Sabah dengan 35 kerusi tidak termasuk ADUN dilantik.