Diesel Bernilai Hampir RM1juta Dirampas

KOTA KINABALU: Sebuah kapal tangki ditahan atas kesalahan membawa diesel berjumlah 170,000 liter tanpa permit yang sah.

Diesel yang dianggarkan bernilai RM900,000 itu dirampas oleh pasukan peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kira-kira 2 petang kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kapal tangki itu ditahan dalam satu operasi khas di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Teluk Sepanggar kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Kapal tangki terbabit dikendalikan empat kru termasuk nakhoda dan kesemuanya warga tempatan berusia antara 24 hingga 72 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas muatan menemukan sejumlah 170,000 liter minyak diesel yang tidak diisytiharkan dan tiada dokumentasi yang sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas sistem navigasi dan rekod pergerakan kapal mendapati ianya sengaja dimatikan dan menimbulkan kecurigaan kepada pasukan menggeledah.

“Pemeriksaan dokumentasi turut menemui pelbagai kesalahan lain seperti pertukaran butiran syarikat tidak dimaklumkan kepada pendaftar kapal, kapal beroperasi tanpa kru yang lengkap seperti di dalam Daftar Keselamatan Kapal (Safe Manning-Ship Personal) nakhoda kapal, ketua jurutera dan kru kapal tidak memenuhi syarat kompetensi sepatutnya, serta peralatan keselamatan tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, kesemua kapal dan kru ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mohd Rosli menasihatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang salah laku jenayah di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau melalui talian kecemasan MERS999.