Di Mana Janji PN Bina 400 Menara Telekomunikasi Di Sabah?

KOTA KINABALU: Langkah Kerajaan GRS memberikan 10,000 laptop percuma kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat dialukan namun ia bukanlah penyelesaian tuntas kepada masalah jalur lebar di Sabah terutamanya di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Wirawati Warisan Sabah, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, Kerajaan GRS sepatutnya mendesak Persekutuan melaksanakan segera program JENDELA bernilai lebih RM2 bilion yang dijanjikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Sabah jika Perikatan Nasional (PN) menang dalam pilihan raya negeri tahun lalu.

Jo-Anna berkata, janji untuk membina kira-kira 400 menara telekomunikasi baharu itu kini umpama hanya tinggal janji sedangkan rakyat Sabah masih terus dihimpit masalah kemunduran telekomunikasi menyebabkan ramai pelajar tidak dapat mengikuti program belajar dari rumah yang dilaksanakan sekarang.

“Bagilah berapa banyak laptop sekalipun masalah tetap tidak akan selesai jika talian internet di pedalaman tidak disediakan kerana tiada pencawang komunikasi disediakan. Ini turut menambah tekanan kepada pelajar serta Ibubapa untuk menjalankan PdPR yang sememangnya sedang dihadapi oleh ramai tetapi juga lebih kepada mereka yang membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan yang penting.

“Di mana perginya janji Muhyiddin mahu melaksanakan program JENDELA di Sabah yang menjadi modal PN untuk meraih undi semasa PRN, ini yang sepatutnya dikejar oleh Hajiji dan pemimpin GRS iaitu tuntut janji yang ditabur bukannya cuma menjanjikan bulan dan bintang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bermengulas mengenai calon SPM dan STPM di kawasan luar bandar seperti Keningau yang tertekan untuk menjalankan PdPR disebabkan keadaan capaian internet lemah.

Jo-Anna memberikan contoh bagaimana insiden tiga pelajar cedera selepas jambatan gantung di Kampung Gusi, Ranau yang menjadi tempat pelajar berkumpul untuk mengakses internet runtuh hujung tahun lalu.

Katanya, tragedi tersebut sepatutnya menjadi alasan kukuh untuk Hajiji mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia membina lebih banyak menara komunikasi di kawasan pedalaman bagi mengelakkan insiden seperti di Kampung Gusi, Ranau berulang.

“Sampaikan ada pelajar kita cedera akibat jambatan gantung runtuh sekalipun masih belum ada menara telekomunikasi dibina di situ, jadi bolehkah lagi kita meletakkan harapan kepada janji Muhyiddin membina 400 menara di Sabah?,” tambah Jo-Anna.

habis