Dewan Rakyat Perlu Utamakan Usul Undi Tidak Percaya Pada 18 Mei

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU:  Usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjadi keutamaan dalam sidang Dewan Rakyat 18 Mei ini.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong berkata, usul yang dibawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu perlu  untuk menjamin kestabilan dan keharmonian politik negara.

“Ini kerana rakyat juga berhak untuk mengetahui situasi sebenar sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

“Pada masa sama, kedudukan kestabilan ekonomi dan kepercayaan para pelabur juga banyak bergantung kepada isu ini,” katanya.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof mengesahkan beliau menerima usul dikemukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri bersama Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, namun meletakkan jawatan selepas ramai wakil rakyat PH berpaling tadah membentuk Perikatan Nasional (PN).

Vui Keong berkata, sekiranya usul itu diterima, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh harus meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memberikan mandat tersebut kembali kepada Mahathir.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional perlu dibubarkan dengan serta-merta.

Sementara itu, mengulas isu lain, Vui Kepng memohon maaf atas kesilapan beliau sebelum ini yang menyebut Datuk Yong Teck Lee tidak pernah menjadi Ahli Parlimen dalam satu siaran langsung di laman sosial.

“Hakikatnya beliau pernah dipilih Ahli Parlimen Gaya pada 1999 namun telah dilucut gelaran berkenaan oleh Mahkamah pada 2002 ekoran satu sabit kesalahan di bawah seksyen 11 (c) dan (d) Election Offences Act 1954,” katanya.