Dewan Rakyat: Kesan 16 Tali Barut Gugat Keselamatan Sabah

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa negara ini mengenalpasti 16 tali barut tempatan yang bekerjasama dengan penjenayah antarabangsa yang cuba menggugat keselamatan Sabah.

Dr Shahidan Kassim (gambar), Menteri di Jabatan Perdana, berkata pihak berkuasa percaya, 16 individu itu memberi maklumat kepada penjenayah yang terbabit dengan krisis keganasan di selatan Filipina.

Katanya, beliau memiliki maklumat mengenai kesemua individu terbabit di tangannya, namun tidak mendedahkan lebih lanjut mengenainya.

“Kita sudah edar gambar mereka di merata-rata tempat dan saya harap kita dapat memburu mereka kerana selama ini menjadi tali barut.

“Kerajaan sedar dengan krisis yang berlaku di selatan Filipina yang setakat ini mengorbankan 411 militan, 97 anggota keselamatan serta 48 orang awam.

“Agak jauh jika mereka (militan dan rakyat Filipina di Marawi) mahu datang ke Sabah menerusi jalan laut, namun pihak berkuasa tetap mengambil kira kemungkinan ia berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jumat Idris (BN-Sepanggar) mengenai tindakan kerajaan mengekang kemungkinan kemasukan militan dan rakyat Filipina di bandar Marawi ke negara ini menerusi Kudat, Sabah di Dewan Rakyat di sini, hari Rabu.

Shahidan berkata, kerajaan Malaysia turut mengadakan kawalan keselamatan berkoordinasi bersama kerajaan Filipina, selain operasi oleh pihak berkuasa tempatan dari masa ke masa.

Menjawab soalan asal Jumat mengenai status keselamatan terkini, Shahidan berkata, keadaan keselamatan di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZONE), khususnya berhampiran sempadan Filipina adalah tenang dan terkawal.

BERITA SELANJUT: –

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/308079/kesan-16-tali-barut-gugat-keselamatan-sabah