Dewan Rakyat Kecoh Isu Kuarantin Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Datuk Mohd Azis Jamman(Warisan-Sepanggar) mendakwa Ahli Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang berada di dalam dewan, tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari Sabah. 

Mohd Azis mendakwa Jeffrey menghadiri Dewan Undangan Negeri Sabah pada 12 Nov dan berada di Parlimen hari ini.

“Saya duduk Kuala Lumpur hampir dua bulan, saya tidak jumpa anak dan isteri sebab kalau balik ke sana kami perlu dikuarantin 14 hari. Kalau kira mengikut hari, Keningau (Jeffrey) tidak sepatutnya berada di dalam dewan ini.

“Kami (ahli Parlimen) dari Sabah akur dengan arahan Yang Dipertua (Dewan Rakyat) berkenaan peraturan mesyuarat, di Semenanjung kita kena kuarantin 14 hari,” katanya.

Bagi meredakan keadaan, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan Jeffrey telah “dilepaskan” dan gelang tangan kuarantinnya dipotong di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lembah Pantai pada 23 Nov selepas keputusan ujian saringan COVID-19 beliau negatif.

Berkenaan  tempoh kuarantin yang didakwa tidak cukup 14 hari, Azhar berkata beliau akan merujuk perkara itu  kepada PKD Lembah Pantai bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Saya telah minta Keningau (Jeffrey) tidak hadir dari tadi,” katanya.

Kekecohan itu bermula ketika Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said mengendalikan sesi penggulungan hari kedua hari ini apabila Mohd Azis membangkitkan perkara tersebut, diikuti beberapa ahli Parlimen blok pembangkang yang bangun menyuarakan pandangan masing-masing.

Antaranya Teo Nie Ching (PH-Kulai), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).

“Saya dapat jawapan rasmi daripada Setiausaha Dewan Rakyat. Kalau Yang Berhormat tidak puas hati dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Parlimen dan ‘order released’ daripada Kementerian Kesihatan, (Yang Berhormat)  boleh bawa kepada Speaker,” kata Azalina.