Destinasi Pelancongan Luar Bandar Jadi Tumpuan

KIULU: Suasana sunyi di Minurod Campsite, yang terletak sejauh 25 kilometer dari Pekan Kiulu, kini bertukar meriah dengan orang ramai mula mengunjungi destinasi pelancongan luar bandar sejak pergerakan rentas daerah dibenarkan.

Dengan pembukaan semula kegiatan pelancongan, ramai yang mengunakan peluang ini untuk merancang aktiviti keluarga dan meneroka pusat pelancongan luar bandar.

Baru-baru ini, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, melawat Minurod Campsite bagi meninjau aktiviti-aktiviti pelancongan di kawasan tersebut di mana para pengunjung, termasuk kanak-kanak, dilihat bermandi-manda di sungai dan mengadakan barbeku.

SHEQ MIN CHU

Sheq Min Chu, 60, dari Kampung Lakut Papar, berkata ini adalah kali pertama keluarganya berkumpul untuk melakukan aktiviti bersama setelah hampir dua tahun terpisah disebabkan perintah kawalan pergerakan (MCO) akibat pandemik Covid-19.

“Kami berasa gembira apabila rentas daerah dibenarkan kerana kami dapat bertemu dengan ahli keluarga yang lain setelah sekian lama berada di rumah saja. Sememangnya, kami sekeluarga telah lama merancang untuk berkelah dan sangat gembira dapat bertemu dengan orang tersayang akhirnya.

“Kami memilih Kiulu sebagai destinasi rekreasi keluarga kerana keindahan alam dan persekitarannya yang segar,” katanya, sambil menambah keluarga dan saudara-mara mereka sudah merancang untuk melawat kawasan pelancongan di daerah lain.

KHALID BIDIN

Khalid Bidin, 46, berkata keluarganya telah merancang untuk mengisi hujung minggu mereka dengan mengunjungi tempat-tempat rekreasi atau perkhelahan di kawasan luar bandar.

“Sejak pergerakan rentas daerah dibenarkan, kami sekeluarga telah melawat pusat-pusat pelancongan untuk beriadah sebanyak tiga kali. Saya memang menanti-nantikan untuk melakukan aktiviti keluarga kerana kesian melihat isteri dan anak-anak berada di rumah dengan tidak banyak aktiviti dilakukan semasa MCO,” katanya.

Buat masa ini, Khalid, yang berasal dari Johor tetapi telah menetap di Sabah selama enam tahun, berkata keluarganya akan memilih untuk melancong ke tempat yang kurang pengunjung bagi menjaga keselamatan keluarga daripada Covid-19.

Sementara itu, Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, berkata, pembukaan semula pelancongan dan pergerakan rentas daerah serta negeri adalah perkembangan yang sangat positif bagi Sabah untuk bergerak ke depan di waktu pandemik.

“Sememangnya, kita sentiasa bersedia menerima semula kedatangan pelancong ke negeri ini. Perkembangan ini akan menggerakkan kembali sektor pelancongan kita dan memberi semula pekerjaan bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19 sejak tahun lepas.

“Kita juga tidak pernah berhenti mempromosikan pelancongan desa serta berasaskan komuniti bagi menggalakkan orang ramai untuk terus melawat destinasi-destinasi luar bandar.

“Ini adalah usaha Kementerian mahupun Lembaga Pelancongan Sabah dalam memperkasakan masyarakat luar bandar dan merancakkan kembali aktiviti pelancongan di kawasan mereka,” katanya.