Desakan MA63 Untuk Kemajuan Sabah, Bukan Mahu Tinggalkan Malaysia

3983

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan menguatkan lagi negara ini.

“Malaysia adalah negara kita. Apa yang paling penting ialah memenangi hati setiap rakyat. Perjanjian itu mesti dilaksanakan kerana itulah yang rakyat Sabah mahukan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu belajar daripada insiden yang berlaku antara negara-negara Kesatuan Soviet dan terbaharu, isu Brexit di United Kingdom.

“Kita perlu belajar daripada semua ini, bekerjasama untuk memahami antara satu sama lain dan tidak berasaskan bangsa atau agama.

“Saya rasa untuk menjadi rakyat Malaysia kita tidak boleh bekerja secara silo. Saya telah berkhidmat untuk negara ini selama lebih 30 tahun.

“Saya mahu pulang ke kampung halaman untuk menjadikan Sabah sebahagian daripada Malaysia, ini tujuan saya,” katanya dalam sebuah forum semalam.

Menurut Mohd. Shafie, bercakap tentang MA63 bukan bermaksud rakyat menentang Malaysia tetapi untuk kebaikan semua pihak.

“Bukan bermaksud bila bercakap tentang ini kami mahukan semua untuk diri sendiri, ini adalah suara tuntutan MA63 yang masih belum dilaksana.

“Bila kami meminta lebih banyak dana, ini adalah untuk pembangunan Sabah, saya telah membangkitkan perkara ini dalam banyak mesyuarat Kabinet di Kuala Lumpur.

“Kami telah berkongsi kekayaan selama tapi kami tidak kisah. Petronas menggali di Sabah dan Sarawak tetapi kami tidak kisah, apa yang kami tidak gembira ialah bayaran royalti kekal lima peratus sejak 1974 sedangkan sekarang sudah tahun 2019,” tegas beliau.

Kata Mohd. Shafie, beliau telah memberitahu Petronas untuk menyerahkan wang perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah yang memerlukan bantuan memperbaiki 587 sekolah daif seluruh negeri.

“Saya telah mewujudkan kementerian pendidikan untuk membuat acuan minda rakyat Sabah agar mereka dapat merasa apa maksud menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, rakyat Sabah mengundi kerajaan baharu kerana meletakkan aspirasi supaya MA63 terlaksana.