Demokrasi Negara Dimatikan Oleh PN Selepas 61 Tahun

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Institusi Parlimen yang merupakan badan tertinggi dalam sistem demokrasi negara mencipta sejarah apabila dicemari oleh pengaruh kuasa politik sehingga peranannya sebagai tempat membincangkan masalah negara terhakis.

Ini berikutan keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menghadkan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei depan hanya untuk mendengar Titah Diraja semata-mata.

Ketika Parlimen sepatutnya menjadi medan untuk wakil rakyat berdebat tentang sistem perundangan dan dasar kerajaan dalam menangani Covid-19, sebaliknya wabak yang melanda dunia itu dijadikan alasan menidakkan fungsi Parlimen yang menjadi amalan sejak kali pertama Dewan Rakyat bersidang pada 11 September 1959.

Siapa menyangka, hampir 61 tahun kemudian, sidang Dewan Rakyat selama sehari pada 18 Mei depan hanya untuk melengkapkan syarat agar PN dapat terus memerintah negara selepas menumbangkan Pakatan Harapan (PH) bukan melalui pilihan raya umum.

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, perkembangan terkini itu menunjukkan demokrasi sudah semakin mati di Malaysia.

“Saya menerima pemakluman daripada Dewan Rakyat hari ini yang mengatakan bahawa Parlimen hanya bersidang bukan hanya sehari, malah lebih teruk lagi hanya mendengar Titah Diraja sahaja.

“Bukankah Parlimen berperanan bukan hanya mendengar Titah Diraja tetapi lebih penting lagi membincangkan isu-isu yang melibatkan masalah negara sekali gus menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat pada hari ini?,” katanya.

Mohd. Azis secara sinis berkata, adalah lebih baik Dewan Rakyat hanya menggunakan sidang video melalui aplikasi Zoom sahaja untuk mendengar Titah Diraja tanpa perlu wakil rakyat hadir ke bangunan Parlimen.

Katanya, Parlimen telah mengeluarkan arahan agar semua wakil rakyat yang hadir perlu menjalani ujian saringan Covid-19 pada 14 dan 15 Mei, namun tidak ada gunanya juga jika tiada perbahasan yang berlangsung.

“Adalah lebih baik agar persidangan Dewan Rakyat dilakukan hanya menggunakan Zoom di mana ahli-ahli Parlimen hanya duduk rumah dan mendengar titah Yang di-Pertuan Agong melalui siaran langsung.

“Gunakan aplikasi Zoom sahaja agar tidak menyusahkan ahli-ahli Parlimen khususnya yang datang dari Sabah kerana kami bukan sahaja mengambil risiko untuk dijangkiti Covid-19 semasa berada di lapangan terbang dan kapal terbang, malah lebih teruk lagi menghadapi kebarangkalian dikuarantin di pusat kuarantin apabila balik ke Sabah keesokan harinya,” katanya.

Mohd. Azis berkata, keengganan PN berdebat dengan wakil rakyat juga memberi gambaran tentang legitimasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang boleh dipersoalkan.

“Jika kerajaan mempunyai sokongan yang cukup, mengapa perlu takut berhadapan dengan ahli-ahli Parlimen?

“Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mengambil peluang untuk membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat melalui persidangan Parlimen pada kali ini, namun apa yang berlaku sebaliknya.

“Mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi di dunia ini, pada dasarnya yang layak menjadi Perdana Menteri adalah yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, maka dengan itu persidangan Parlimen kali ini adalah peluang yang baik buat Tan Sri Muhyiddin Yassin menutup mulut mereka yang mempertikaikan legitimasi beliau sebagai Perdana Menteri,” tegas beliau.

(Visited 1 times, 1 visits today)