Demi Upah RM25, Orang Tengah Jual Syabu Ditahan Di Pulau Gaya

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Demi upah RM25 hingga RM30 sehari, orang tengah yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di Pulau Gaya ditahan, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Balai Pulau Gaya, Asisten Superitendan Mohd Alamshah Gulam berkata, pihaknya menahan seorang lelaki bukan warganegara berumur 20 tahun di sebuah rumah di Kampung Lok Baru Pulau Gaya pada 11.30 pagi, 26 Jan.

Hasil siasatan awal mendapati suspek yang merupakan seorang pengganggur mengaku telah lama bersekongkol dengan sindiket pengedaran dengan mendapat upah RM25 hingga RM30 sehari.

Suspek berperanan sebagai orang tengah dengan menjual bekalan syabu yang diperolehi dari pengedar kepada penagih di kawasan sekitar.

Dengan tangkapan itu, polis turut merampas tujuh paket syabu yang disembunyikan di dalam beg plastik hitam bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy J3 Pro dan wang tunai berjumlah RM1,174 turut untuk siasatan lanjut.

Keseluruhan nilai harga rampasan syabu seberat 56.48gram dianggarkan berjumlah RM5,648 mengikut harga pasaran dadah.

Mohd Alamshah berkata, hasil ujian saringan urin mendapati suspek negatif dan semakan rekod lampau juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. Suspek kini direman bermula semalam untuk siasatan lanjut.