Demi Rasuah RM250, Pesara Polis Didenda RM3,000

KOTA KINABALU: Demi rasuah berjumlah RM250, seorang pesara polis dikenakan hukuman denda RM3,000 di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Sarjan Jangli Mamat, 58, selepas tertuduh mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah RM 250 daripada Anizan Misdaranai,39.

Tertuduh yang sebelum ini bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM 250 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank milik tertuduh pada 6 Oktber 2016 bertujuan untuk membebaskan tertuduh daripada kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Jangli yang berhadapan tiga pertuduhan hanya didakwa bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan setelah hakim mengugurkan dua pertuduhan untuk kesalahan sama.

Dalam kes berasingan, dua pegawai dan anggota polis iaitu Inspektor Bobby Rhyne Warry Nawaru,38, dan Koperal James Well Anak Lakin,44, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah daripada individu sama antara 4 November 2016 hingga 30 Ogos 2017.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima wang rasuah berjumlah antara RM600 dan RM3,600 daripada individu sama yang dimasukkan ke dalam akaun bank kedua-dua tertuduh.

Bagi kesemua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bobby Rhyne yang berhadapan lapan pertuduhan dibenarkan diikat jamin dengan bayaran RM10,000 dan deposit RM5,000 manakala, James yang didakwa bagi tiga pertuduhan dibenarkan diikat jamin dengan bayaran RM6,000 dan deposit RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan.

Hakim menetapkan 6 Disember sebagai tarikh pengurusan kes dan kedua-dua tertuduh diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan diminta melapor diri setiap dua bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Kes dikendalikan oleh Nurul Izzati Sapifee manakala, kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Setakat hari ini, 10 orang pegawai dan anggota polis dari IPD Kota Belud didakwa atas kesalahan menerima rasuah daripada individu yang sama.