Demi Perikemanusiaan, Wanita Bebas Dari Perbuatan Jenayah

PENAMPANG: Merosakkan harta benda milik orang lain dengan sengaja merupakan satu perbuatan jenayah.

Namun, dalam insiden yang berlaku di hadapan Plaza 333 pada Sabtu dimana seorang wanita bertindak memukul beberapa kenderaan menggunakan sebatang paip, kesemua pemilik kenderaan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap wanita yang difahamkan kurang siuman itu.

Bagaimanapun, susulan laporan polis yang diterima mengenai video tular berkaitan seorang wanita yang merosakkan beberapa kenderaan dalam kejadian kira-kira 7.42 malam itu, pihak polis bertindak menahan wanita tersebut.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata, wanita itu ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di hadapan kawasan tempat letak kenderaan di hadapan Plaza 333.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita tersebut dipercayai kurang siuman.

“Wanita tersebut telah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Haris berkata, seramai tiga mangsa yang juga pemilik kenderaan telah dikenal pasti namun, hanya dua mangsa yang membuat laporan polis.

“Berdasarkan rakaman percakapan semua mangsa, mereka tidak mahu meneruskan tindakan ke atas wanita tersebut kerana wanita itu seorang yang kurang siuman.

“Mereka membuat laporan untuk tuntutan insuran sahaja,” jelasnya.