Degil Duduk Rumah, Penjara 10 Bulan Jadi Pengganti

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Disuruh duduk di rumah tetapi tetap degil untuk keluar dan apabila ditahan pihak polis dalam sekatan jalan raya, kenderaan dipecut laju sehingga pihak berkuasa terpaksa mengejar selama hampir sejam.

Seorang lagi tertuduh pula mengamuk apabila disaman pihak polis kerana tidak memiliki lesen memandu semasa ditahan dalam sekatan jalan raya.

Tindakan dua lelaki itu akhirnya membawa padah apabila seorang daripada mereka dihukum penjara 10 bulan manakala seorang lagi didenda RM6,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayarnya.

Tertuduh, Yong Tze How, 26, dan Injumar Abu Gafar, 33, menerima hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing di depan Majistret Stephanie Sherron Abbie hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi, kelmarin, Tze How yang menaiki sebuah Perodua Viva ditahan polis dalam sekatan di Jalan Cenderakasih, namun segera memecut kenderaannya.

Tertuduh yang bersama seorang wanita dan bayi di dalam kenderaan itu terpaksa dikejar polis selama hampir sejam sehingga ke Bandar Bendera apabila kereta digunakannya terbabas kerana kehabisan minyak.

Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh telah mengambil dadah sehari sebelum ditahan.

Stephanie kemudiannya memerintahkan Tze How dipenjara selama 10 bulan selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Injimar yang merupakan pemegang kad Pemastautin Tetap telah ditahan polis pada pukul 6 petang dalam sekatan jalan raya di Jalan Tuaran.

Terdahulu, polis yang melakukan pemeriksaan mendapati tertuduh tidak memiliki lesen memandu menyebabkan dia disaman.

Berang dengan saman tersebut, tertuduh tiba-tiba sahaja mengamuk dan menumbuk bonet kenderaannya lalu ditahan.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan diperintahkan membayar denda RM6,000 atau penjara 10 bulan.

Stephanie turut memerintahkan Injimar dirujuk kepada Jabatan Imigresen atas kesalahannya.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.