Dedah Parti BN Terlibat Skandal ‘IC Untuk Raih Undi’ – Darrell

PETALING JAYA : Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Darell Leiking memuji tindakan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili kerana akhirnya mengakui ada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam mengeluarkan kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing di Sabah demi mendapatkan undi ketika pilihanraya.

Darell berkata kenyataan Maximus mengenai penglibatan parti berkenaan dalam “amalan khianat” seperti itu “selepas sekian lama”, adalah tindakan yang terpuji.

Semalam, tanpa menyebut nama parti politik terbabit, Maximus dilaporkan berkata, penglibatan parti berkenaan meraih undi daripada pendatang asing, telah terbukti dalam sesi Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing di Sabah sebelum ini.

Katanya, pengeluaran IC kepada pendatang asing telah mengubah demografi negeri itu, seterusnya menyumbang peningkatan ketara penduduk Sabah.

“Bolehkah rakan saya, Maximus Ongkili, menyatakan parti mana dalam BN yang merosakkan Sabah dengan memberikan IC sebagai pertukaran untuk mendapatkan undian?

“Beliau patut segera berbuat demikian untuk membaiki pelanggaran keadilan terhadap setiap rakyat Sabah yang sahih, supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Darell berkata, pendedahan dibuat Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu, memberi sebab lebih kukuh bagi rakyat Sabah untuk bersatu terhadap parti politik yang hanya mempunyai kepentingan peribadi.

Malah, katanya, golongan itu langsung tidak mencintai negeri dan rakyat Sabah.

Darell turut menggesa supaya daftar pemilih “dibersihkan” daripada pemegang MyKad yang mencurigakan itu.

“Berapa banyak lagi pilihan raya akan diadakan dengan pengundi yang mencurigakan?” soal Darell.

Semalam, Ongkili berkata sebuah parti komponen BN menyalahgunakan pendatang asing tanpa izin di Sabah untuk kepentingan politiknya dan ini telah dibuktikan dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing di Sabah yang dibentuk ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ongkili bagaimanapun tidak menamakan parti atau negeri di mana ia berlaku.

PBS pernah menjadi komponen BN tetapi meninggalkannya selepas gabungan itu kalah pada pilihan raya ke-14.

Dalam perkembangan lain semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Mohd Arshad Abdul Mualap dan seorang lagi individu dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan terbabit dalam aktiviti penipuan penjualan kad program pengumpulan data maklumat dokumentasi orang tiada kewarganegaraan.

Menurut laporan media, kedua-dua mereka dipercayai menipu orang tiada warganegara dengan menawarkan kad data dilengkapi pengimbas kod QR sejak awal tahun ini yang dijual dengan harga antara RM500 hingga RM1,000 kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai kewarganegaraan.