‘Debat? Lebih Baik Saya Jumpa Pengundi’ – Presiden Warisan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal lebih berminat untuk berjumpa pengundi dan fokus untuk menang pilihan raya berbanding berdebat.

Itu maklum balas Ketua Menteri berhubung cadangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahukan beliau (Shafie) dan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berdebat mengenai siapa Ketua Menteri yang terbaik.

Mohd Shafie berkata, beliau perlu turun padang bagi mendekati pengundi di peringkat akar umbi kerana Sabah adalah sebuah negeri yang besar.

“Mereka boleh berdebat tapi saya mahu berjumpa pengundi. Saya kena dekati pengundi di Sabah sebab Sabah sebuah negeri yang besar,” katanya sebagai respon terhadap cadangan Azmin yang mencabarnya untuk berdebat bersama Hajiji selaku Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah.

Mengenai manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), beliau berkata, manifesto itu mungkin nampak baik, tapi apa yang penting adalah pelaksanaan.

“Mereka boleh katakan manifesto itu bagus tapi adakah ia mampu dilaksana dan dicapai? itu perkara lain,” katanya.

Bagi Warisan Plus, pihaknya sudah melancarkan visi dan misi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Beliau berkata, mereka hanya menambah sahaja manifesto dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kerana yang penting dapat membawa masuk pelaburan untuk pembangunan industri hiliran di Sabah.

Dalam visi dan misi Warisan Plus, lima fokus utama telah digariskan iaitu politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan.