DBKK Perkenal Sistem Database Tangani Isu Setinggan – Mayor

204

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan satu Sistem Database lengkap bagi memantau dan mengawal pertumbuhan kawasan setinggan sekitar pusat bandaraya ini dengan lebih efektif.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman berkata, database itu akan digunakan bagi mengenalpasti setinggan-setinggan yang terdapat sekitar bandaraya ini agar usaha mengawal dan menyalurkan bantuan dapat dilakukan secara berkesan.

Malah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga telah meluaskan penyertaan agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Setinggan Bandaraya Kota Kinabalu dengan melibatkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Air, Sabah Electricity Sdn Bhd dan beberapa agensi berkaitan.

Dalam masa sama, DBKK juga mahu pengurusan sampah di kawasan setinggan diberi perhatian serius dan ia akan ditangani dengan menggunakan Sistem Mikro Enterprise yang akan diperkenalkan kemudian.

Disamping itu, DBKK juga menyokong usaha pewartaan kawasan yang boleh diperakukan untuk diwartakan sebagai rizab kampung.

”Sehingga hari ini, DBKK teah mengemukakan 10 permohonan tanah untuk tujuan rizab kampung, perumahan kos rendah dan penempatan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran ‘KK Moving Forward’, di sini pada Khamis.

Nordin berkata, DBKK juga sedang menjalankan kajian bagi pelaksanaan Bandar Pintar di Kuala Manggatal.

Katanya, kajian itu bertujuan untuk menyediakan Skim Perancangan Guna Tanah bagi mewujudkan penempatan semula lebih kurang 7,000 isi rumah yang tinggal di kawasan setinggan.

”Kawasan itu nanti akan dibangunkan sebagai kawasan perniagaan dan perhotelan.

”Perancangan sebegini bukan hanya membantu menempatkan golongan setinggan malah, turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

”Kajian ini dijangka siap pada Oktober dan hasil kajian akan dijadikan Skim Pembangunan Bandar Kuala Manggatal apabila segala syarat teknikal diambil kira,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, DBKK juga sedang melaksana aktiviti inap desa (homestay) dan eko-pelancongan bagi menjana ekonomi penduduk sekitar bandaraya berkenaan.

Setakat ini, dua kampung mula melaksanakan aktiviti homestay manakala, tiga persatuan pula telah didaftarkan bagi menjalankan aktiviti pelancongan di Inanam.

Katanya, usaha sebegitu akan membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar.