DBKK Akan Wartakan Pengasingan Sisa Buangan Sehingga Kawasan Setinggan

40
Noorliza, tiga kanan bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman semasa pelancaran Buku Pelan Tindakan Bandar Hijau Kota Kinabalu, di sini pada Khamis.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mewartakan undang-undang kecil pengasingan sisa buangan sebaik sahaja percubaan yang dijalankan di tiga kawasan perumahan menampakkan kejayaan.

Ketua Pengarah DBKK Noorliza Ag Alip berkata, pewartaan undang-undang kecil ini akan dilakukan setelah segala perkara dimuktamadkan termasuk penyediaan kemudahan infrastruktur bagi pelaksanaan itu.

“Undang-undang kecil ini akan dilaksanakan tapi berikan kami masa untuk muktamadkan beberapa perkara,” katanya ketika ditanya mengenai program pengasingan sisa buangan yang dilaksana DBKK seiring dengan inisiatif ‘KK Moving Forward’.

Beliau berkata, pengasingan sisa itu sudah dimulakan di tiga taman perumahan iaitu Taman Greenview, Taman Jindo dan Kondominium Alam Damai.

Katanya, setakat ini, percubaan yang dilakukan menunjukkan perkembangan yang baik. Percubaan di tiga taman ini dilaksana dengan bantuan konsultasi sejak tahun lalu.

Menurutnya, pengasingan sisa buangan ini akan turut diperluaskan ke kawasan setinggan agar penduduk di sana boleh menguruskan sisa buangan mereka dengan lebih teratur.

“Kita kena pastikan kawasan setinggan tidak ketinggalan dalam menikmati perkhidmatan pengasingan sisa buangan ini.

“Ada keperluan untuk kita mengambil pendekatan holistik agar pengasingan sisa makanan ini dapat dilaksana dengan berkesan.

“Kita kena laksanakan pengasingan ini mengikut undang-undang dan DBKK akan bekerjasama dengan Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan,” ujarnya.

Bagaimanapun, pada peringkat awal ini, usaha mendidik masyarakat mengenai pengasingan sisa buangan jauh lebih penting.

Maka, sebelum penguatkuasaan undang-undang dilaksana, proses mendidik masyarakat akan dilakukan terlebih dahulu, kata Noorliza.