DBKK Akan Bina Semula Pusat Penjaja Pantai Tg Aru

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membangunkan semula Pusat Penjaja di kawasan Pantai Tanjung Aru, dalam usaha melonjakkan semula ekonomi penduduk setempat.

Perkara itu dimaklumkan selepas lawatan tapak oleh Datuk Bandar (Mayor), Datuk Nordin Siman bersama pemangku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong.

Junz berkata, perancangan pembangunan semula ini dirancang sejak awal ini.

“Cadangan dibuat pada awal tahun, tetapi kami tidak umum apa-apa ketika itu kerana berhasrat membuat pengumuman selepas projek siap.

“Malangnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa. Rancangan pembangunan semula itu terpaksa ditangguh.

“Saya telah semak perkembangan projek ini pada 27 Julai lalu dan Datuk Bandar memaklumkan bahawa pembangunan boleh diteruskan. Jadi saya anggap ini berita baik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Junz berkata, jumlah tapak gerai juga akan ditambah daripada jumlah sebelum ini.

“Kami akan meningkatkan bilangan gerai kepada 120 buah berbanding dengan 60 gerai sebelum ini. Lebih banyak tapak gerai akan disediakan.

“Apa yang paling penting, kami akan utamakan penjaja tempatan. Saya mahu penduduk kawasan saya diberi keutamaan,” ujarnya.

Junz berkata, projek ini amat penting dalam membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat terutama mereka yang terjejas akibat PKP dan penularan Covid-19.