Dasar Mobilisasi Pegawai Dan Anggota Keselamatan Harus Diperkasakan

Mohd Zaki Harry Susanto
Mohd Zaki Harry Susanto

KOTA KINABALU – Pihak berkuasa yang terlibat dengan penugasan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) atau di sempadan negara perlu memperkasakan dasar mobilisasi pegawai dan anggota, terutamanya bagi jawatan yang terdedah kepada elemen penyalahgunaan kuasa.

Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata perkara itu penting kerana keberadaan seseorang pegawai dan anggota di posisi yang ‘panas’ dalam satu tempoh penugasan yang lama dikhuatiri menjejaskan kualiti perkhidmatan sehingga terpengaruh dengan gejala negatif melibatkan ketirisan integriti sebagai penjawat awam.

“Dasar mobilisasi perlu diperkasakan dengan menetapkan satu tempoh penugasan yang ideal. Janganlah dibiarkan mana-mana Pegawai atau anggota bertugas melebihi dua atau tiga tahun di satu lokasi ‘hot spot’.

“Ia penting bagi memastikan tahap kepercayaan masyarakat terus meningkat, sekali gus menjaga kewibawaan pasukan keselamatan. Kita tidak mahu nama baik pasukan keselamatan tercalar kerana perbuatan segelintir petugas yang tidak berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media Indonesia berkaitan dakwaan kemasukan beratus-ratus pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Tawau melalui beberapa lokasi pendaratan khususnya di kawasan Batu-batu Sabindo, baru-baru ini.

Sambil menyifatkan ia sebagai masalah sikap individu terlibat (sipelaku), Mohd Zaki juga berharap pihak tertentu tidak terburu-buru untuk mengaitkan isu berkenaan sebagai kegagalan pihak berkuasa secara keseluruhannya.

“Tidak perlu menuding jari dengan menyalahkan mana-mana pihak kerana ia lebih kepada masalah individu (sipelaku). Kita yakin tindakan tegas akan segera dikenakan terhadap pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang didapati terlibat dengan gejala tidak bermoral itu,” tambahnya.

Pada masa sama, Mohd Zaki mencadangkan agar semua jeti pendaratan yang sah di Tawau diperketatkan, selain menutup mana-mana jeti pendaratan haram di daerah berkenaan.