Dasar Keluar-Masuk Secara Bebas Dari Labuan Mungkin Dibatalkan

HAMZAH ZAINUDIN

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji cadangan menambah baik kawalan di pintu masuk negeri Sabah melalui Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

Ini termasuk melihat keperluan pembatalan dasar free-flow dari WP Labuan-Sabah dengan mengambil kira beberapa isu yang timbul khususnya berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata demikian ketika menjawan pertanyaan lisan Datuk Darell Leiking (Warisan-Penampang) yang bertanya tentang langkah akan diambil kerajaan bagi menutup ‘Menumbok loophole’ bagi mencegah orang luar masuk ke Sabah tanpa pemeriksaan atau pemantauan Imigresen.

Darell bertanya jika kaunter Imigresen akan diwujudkan di Menumbok dan Entry Visa akan diperkenal kepada warga bukan Sabah yang masuk ke Sabah melalui Labuan.

Hamzah berkata, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia akan melaksana pemeriksaan dokumen perjalanan dan pengenalan diri secara menyeluruh bagi memantau agar tiada sebarang endosmen dilakukan di semua pintu masuk WP Labuan-Sabah.

Katanya, ini bertujuan untuk mengawal kemasukan ke negeri Sabah secara tidak teratur melalui WP Labuan.

Sebelum ini, pengunjung dari Semenanjung Malaysia sama ada warga Malaysia atau warga asing hanya perlu menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Labuan kemudian menaiki feri ke Menumbok atau Jesselton Point tanpa perlu menunjukkan dokumen perjalanan yang sah atau pasport di sebarang kaunter pemeriksaan Imigresen.

Kelemahan sistem pemeriksaan di Menombok dan Jesselton Point ini bertentangan dengan amalan di Sabah dimana, rakyat Malaysia yang bukan berasal dari Sabah perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri atau pasport di semua kaunter pemeriksaan Imigresen sebelum dibenarkan memasuki Sabah.