Darurat Lumpuhkan Ekonomi Negara – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Dasar kerajaan yang tidak jelas dan pelaksanaan darurat menyebabkan pelabur mula hilang kepercayaan untuk melabur di negara ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, apabila pelabur mula hilang kepercayaan terhadap pemerintahan kerajaan, mereka akan memilih untuk melabur di negara lain yang lebih stabil.

Jika dilihat pelabur tidak mahu melabur di Malaysia yang dilihat sangat berisiko pada ketika ini dan mereka tidak yakin dengan dasar dan sistem yang ada di negara ini.

Atas sebab itu, kerajaan perlu mengambil langkah untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti setiap aspek yang perlu dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara.

Ahli Parlimen Semporna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini berkata, kebanyakan negara lain di dunia sudah mula membuka sektor ekonomi masing-masing tapi, tidak di Malaysia yang masih berdepan dengan hala tuju tidak jelas dalam pengurusan ekonomi.

Mohd Shafie berkata, kerajaan perlu berusaha membeli lebih banyak vaksin bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negara ini agar ekonomi dapat dibuka dengan segera.

“Proses vaksinasi rakyat perlu segera diselesaikan bagi membolehkan semua sektor ekonomi kembali dibuka agar persekitaran tempat kerja menjadi lebih selamat.

“Kerajaan harus segera menyediakan 60 juta dos vaksin untuk memastikan 32 juta rakyat di negara ini dapat diberikan vaksin untuk mencapai imuniti berkelompok,” katanya dalam Program ‘Bicara Presiden’ secara langsung menerusi Facebook Warisan Online semalam.

Tambahnya, jawatankuasa khas itu perlu mengenal pasti sektor yang perlu diberi keutamaan agar proses pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan.

Ketika ini kerajaan Persekutuan sudah membelanjakan hampir RM600 bilion bagi menangani penularan Covid-19 dan kadar pengangguran ketika ini sudah mencecah lebih 1juta kerana banyak sektor yang terjejas.

Selepas lebih setahun ruang diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan pandemik, ternyata kerajaan gagal dan keadaan semakin bertambah teruk.

“Malaysia adalah sebuah negara yang begitu disegani suatu ketika dahulu tapi malangnya, keadaan negara ketika ini tidak begitu baik.

“Kita mempunyai tenaga kerja berkemahiran dan punya keupayaan yang cukup baik tapi ianya dilumpuhkan oleh sistem pentadbiran yang tidak jelas pada hari ini,” ujarnya.

Dalam usaha menangani Covid-19, kerajaan tidak boleh bertindak sendirian, mereka perlu melibatkan sektor swasta dalam sama-sama membantu negara mengatasi krisis kesihatan ini.

Kerajaan juga perlu memberi ruang kepada sektor swasta mendapatkan sendiri vaksin untuk membolehkan individu berkemampuan mendapatkan vaksin tanpa perlu menunggu giliran di Pusat Pemberian Vaksian (PPV) sedia ada.