Darurat Cuma Helah Selamatkan Kerajaan Muhyiddin

KOTA KINABALU: Beberapa peguam kanan tampil menyelar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihatkan Seri Paduka untuk mengisytiharkan darurat ketika beliau telah hilang kepercayaan dan sepatutnya meletakkan jawatan.

Barisan peguam tersebut iaitu, Muhammad Rafique Rashid Ali, Mior Nor Haidir Suhaimi dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berkata, pengisytiharan darurat sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan kerajaan Muhyiddin yang hampir tumbang.

Berikut kenyataan penuh mereka:

1. Menurut Fasal 150 Perlembagaan Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berpuas hati bahawa terdapat satu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam negara atau sebahagiannya terancam maka Tuanku boleh mengeluarkan satu Proklamasi Darurat.

2. Di bawah peruntukan fasal yang sama YDPA boleh juga memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapati perlu mengikut hal keadaan.

3. Semenjak beberapa hari yang lalu desas-desus mengenai langkah Darurat ini semakin mendapat perhatian ramai. Akhirnya, yang jelas semalam Perdana Menteri dan Kabinetnya memutuskan untuk mencemar duli mengadap  YDPA bagi maksud menasihati YDPA agar darurat diisytiharkan. Sehingga kini tidak diketahui darurat yang dipinta itu adakah ianya berskala penuh (imbas kembali sejarah Darurat 1969, konfrontasi Indonesia) ataupun apa yang dikhabarkan oleh Putrajaya sebagai Darurat Politik.

4. Walau apapun label daruratnya, yang pasti ianya bukan atas alasan lain cuma semata-mata memastikan kerajaan PN pimpinan PM ke-8 ini kekal berkuasa. Kerajaan ini rapuh dan berpegang hanya dengan kelebihan 2 Ahli Parlimen sahaja.

5. Alasan kononnya keadaan penularan Covid-19 dan angka jangkitan yang makin meningkat bukan satu justifikasi untuk memanggil Darurat. Tiga senario sepertimana Fasal 150(1)  Perlembagaan Persekutuan tidak berlaku masa kini.

6. Mulai Mac tahun ini negara dilihat mampu menangani masalah penularan dan infeksi Covid-19 dengan baik. Pada masa negara-negara lain melihat jumlah kes mencecah ribuan dan  puluhan ribu kes, angka di Malaysia terkawal. Yang melegakan adalah hampir keseluruhan masyarakat  menurut peraturan-peraturan dan SOP oleh Kementerian Kesihatan dengan baik. Yang melanggar juga telah didakwa dan menerima hukuman.

7. Lebih menghairankan adalah satu-satunya individu yang bakal menerima keuntungan dari keseluruhan langkah Darurat ini juga merupakan individu yang secara Perlembagaan memberi nasihat kepada YDPA untuk memanggil Proklamasi Darurat.

8. Apabila wujudnya lebih kurang 17 usul undi tidak percaya terhadap beliau dan apabila timbulnya pembentangan Bajet 2021 di Parlimen pada sesi akan datang bermula  02.11.2020 selama 34 hari, satu- satunya cara untuk menghalang beliau dari kehilangan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah untuk menggantung Parlimen. Darurat akan menggantung Parlimen dan akan mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kuasa.

9. Disebabkan itulah kami percaya bahawa cara ke hadapan untuk kemaslahan bersama Negara adalah untuk YDPA mendapati bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah sebenarnya hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

10. Dalam kemelut politik yang melanda ini, negara harus dikemudi oleh sebuah Kerajaan Perpaduan. Ia harus dianggotai bukan atas dasar parti politik tetapi bersandarkan pada keikhlasan untuk memimpin Negara dengan kelayakkan dalam bidang- bidang tertentu. Dalam erti kata lain, ‘The Best amongst Malaysians’. Negara memerlukan pimpinan yang tidak berkepentingan peribadi tetapi mereka yang berjiwa besar untuk berbakti kepadanya.

11. Kerajaan Perpaduan ini adalah sebuah konsep yang mematuhi kedaulatan Undang-undang dan berperlembagaan. Fasal 43(2)(a) merupakan titik permulaan apabila YDPA menggunakan budi bicara Tuanku untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemahnya mempunyai kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Parlimen. Kemudiannya Fasal 43(2)(b) pula mengenai perlantikan jemaah Menteri atas nasihat Perdana Menteri yang baru dilantik. Di sini mereka yang dipilih harus mempunyai kemahiran, kecekapan dan kekuatan masing – masing untuk memyumbang pada negara.

12. Model terbaik buat masa yang mencabar ini adalah kerajaan sedemikian yang harus dipimpin oleh seorang negarawan. Beliau sebelum ini telah membuktikan kemampuannya. Kini beliau ditagih kembali, untuk perjuangan yang belum selesai.

13. Kepada kebijaksanaan DYMM Tuanku rakyat berserah. Kerana sekiranya Darurat menjadi pilihan kerajaan sekarang jelas ianya akan membunuh Demokrasi dan melahirkan sebuah autokrasi.