Dari Mari Mari Cultural Village Kepada ‘Mari Jimat’

Proses penyediaan membekalkan makanan laut menerusi Mari Jimat.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketika syarikat pelancongan lain memutuskan untuk membuang pekerja demi mengurangkan kos operasi, syarikat Traverse Tours Sdn Bhd mengambil pendekatan ‘menyelamatkan pekerjanya’.

Syarikat yang mengusahakan Mari Mari Cultural Village, Mari Mari Sepanggar Lodge dan Riverbug ini tampil dengan idea mengusahakan perkhidmatan logistik, penghantaran barangan, runner, membekalkan barangan keperluan harian dan pembeli peribadi (personal shopper).

Perkhidmatan yang dikenali sebagai ‘Mari Jimat’ini memanfaatkan segala aset syarikat yang ada seperti van pelancongan dan lori. Aset sedia ada itu ditransform untuk dijadikan kenderaan logistik bagi menghantar barangan makananan serta keperluan lain di seluruh Sabah.

Pippa Amin

Eksekutif Jualan Mari Jimat Enterprise, Pippa Amin berkata, demi kelangsungan hidup, mereka perlu beralih bidang perniagaan daripada perkhidmatan pelancongan kepada perkhidmatan pelanggan.

Beliau berkata, syarikat itu mempunyai kira-kira 150 orang kakitangan yang kebanyakannya sudah bekerja lima hingga 10 tahun.

Daripada memberhentikan pekerja, Pengarah Urusan Traverse Tours, Octavius @ Dares Salam Asaad mengambil langkah mewujudkan Mari Jimat Enterprise untuk memastikan pekerjanya masih mempunyai pekerjaan ketika pandemik Covid-19 ini.

Pippa berkata, pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi tamparan hebat kepada penggiat industri pelancongan.

“Atas sebab itu, selepas kami mengadakan perbincangan terhasil idea menjalankan perkhidmatan ‘Mari Jimat’ ini.

“Kami turut menjalankan kajian untuk melihat keperluan dan pasaran perkhidmatan ini,” katanya kepada Borneo Today.

Pippa berkata, perkhidmatan Mari Jimat ini mula diusahakan pada Jun 2020. Pada peringkat awal memang sukar kerana pergerakan agak terhad ketika PKP. Walaupun menerima permintaan dari luar Kota Kinabalu, penghantaran tidak dapat dilakukan kerana sekatan perjalanan.

Katanya, pada peringkat awal mereka turut berdepan masalah kewangan kerana sejak penutupan sektor pelancongan pada Mac 2020, syarikat tidak memperoleh hasil.

Malah, apabila sektor pelancongan dibuka untuk pelancong domestik pun tidak ramai pelanggan kerana mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan orang ramai masih takut untuk keluar.

“Terus-terang saya katakan, pada peringkat awal mengusahakan Mari Jimat memang sukar untuk mendapat pelanggan kerana perniagaan ini masih baru. Kami bergantung kepada pemasaran melalui media sosial sahaja seperti Instagram, Facebook dan website,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan perniagaan Mari Jimat masih baharu jadi mereka perlu melipatgandakan usaha untuk membuatkan orang ramai mengenali dan menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Katanya, perkhidmatan yang disediakan meliputi perkhidmatan membekalkan ikan segar dan keperluan harian, membekalkan makanan tradisi Sabah, pembelian barangan IKEA, menyedia perkhidmatan pindah rumah dan pejabat, perkhidmatan pembungkusan barangan, penghantaran barangan untuk majlis atau acara serta runner bagi penghantaran barangan.

Pippa berkata, maklumat lanjut mengenai Mari Jimat ini boleh diperoleh melalui website marijimat.com atau boleh Whatsapp kepada 0198204921.