Darell Tangkis Tuduhan Liar Warisan Parti PTI

Darell beramah mesra dengan penduduk Majlis Mesra Bersama dan Majlis Perasmian Bangunan Balai Raya dan Pondok Kampung Maang, Penampang.

Oleh NORA AHMAD
PENAMPANG: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Datuk Darell Leiking mengambil peluang sepanjang seminggu berkempen untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai pelbagai isu dan tuduhan liar berkaitan partinya.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, antara yang perlu dijelaskan adalah isu parti WARISAN yang sering dikaitkan dengan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Saya selalu ditanya berhubung tuduhan liar seperti isu PATI, masalah ini bukan hanya di Penampang tetapi di seluruh Sabah.

“Ada segolongan masyarakat yang masih tidak positif dan menganggap WARISAN adalah parti dari sana (parti PATI). Saya sedih bahawa pemikiran ini belum dibersihkan dan belum dapat diatasi oleh mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Mesra Bersama dan Majlis Perasmian Bangunan Balai Raya dan Pondok Kampung Maang, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Presiden WARISAN berkata, ada pihak yang menggunakan isu itu namun yakin hanya segelintir saja yang percaya.

“Saya percaya dalam 10 orang, hanya dua orang saja yang begitu.

“Saya harap yang sebahagian kecil ini membuka minda mereka dan pergi ke sana (pantai timur) untuk ketahui masalah mereka, kerana mereka pun ada masalah yang sama seperti kita seperti PATI, ekonomi dan sebagainya,” katanya.

Diminta mengulas berhubung parti Warisan yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukan berbangsa Kadazan, Dusun dan Murut (KDM), beliau menjelaskan ramai pimpinan tertinggi Warisan terdiri daripada mereka yang  berbangsa KDM termasuk dirinya sendiri.

“Saya Timbalan Presiden; Datuk Peter Anthony, Naib Presiden; Datuk Junz Wong, Naib Presiden; Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua dan Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun, terdiri dari KDM.

“Mereka ini semua salah tafsir, salah cakap… Mereka mahu semua Kadazan, mahu KDM, itu ‘multiracial’ bagi mereka mungkin.

“Bagi saya multiracial, ia tidak menilai orang itu melalui kaum, bangsanya dan agamanya. Ia menilai orang itu atas perjuangan, atas kebolehan,” katanya.