Darell Serah Sumbangan Bantu Warga Emas

97

KOTA KINABALU: Keperluan warga emas serta golongan orang kurang upaya (OKU) sentiasa mendapat perhatian Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking di kawasannya.

Sehubungan itu, melalui Pusat Khidmat Rakyat di kawasannya, Darrel yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menyampaikan sumbangan kepada 46 menerima golongan itu kelmarin sempena sambutan Hari Malaysia.

Ketua Perhubungan Pusat Khidmat Rakyat Penampang, Puan Dora Engchuan berkata, bantuan tersebut diserahkan dalam program lawatan rumah ke rumah di Kampung Kuai Kandazon, Penampang.

“Kami mengambil kesempatan cuti kebangsaan ini untuk menjangkau warga yang memerlukan bantuan ikhlas untuk diserahkan.

“Kami berterima kasih kepada para sukarelawan, Penampang Act of Kindness (PAKA) dan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Valentine Benilus serta jawatankuasanya dan agensi kerajaan yanh bersama-sama menjayakan program itu,” katanya kepada Borneo Today.

Katanya, sebanyak enam kerusi roda, dua tongkat, peralatan bantuan berjalan dan beberapa lagi sumbangan daripada Ahli Parlimen telah diberikan pada hari tersebut.

“Program seperti ini akan terus diadakan dari masa ke semasa bagi memperingati warga Penampang yang memerlukannya,” katanya.