PENAMPANG: Datuk Darell Leiking berkata isu ketidakpercayaan antara masyarakat Sabah di kawasan Pantai Timur dan Pantai Barat antara punca berlakunya perpecahan perpaduan di negeri ini.
Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog itu berkata, perkara itu dapat dilihat berdasarkan tuduhan-tuduhan liar yang dilontarkan oleh pihak lawan.
Sehubungan itu katanya, rakyat Sabah tidak kira dari mana sekalipun perlu bersatu kerana hanya dengan cara itu barulah kemakmuran negeri dapat dicapai.
“Bila mereka melihat Mohd. Shafie, mereka secara automatiknya memandang beliau sebagai pendatang tanpa izin (PTI), hanya kerana mereka tidak tahu bagaimana kehidupan mereka di Pantai Timur sebab kita hanya di Pantai Barat.
“Macam juga dari Malaya atau Semenanjung, mereka kurang pengetahuan tentang Negeri Sabah.
“Masalah terbesar kita adalah kita tidak mengenali sesama, kita tidak mahu mengenali antara satu sama yang lain atau kita fikir kita sudah tahu secukupnya, hanya kerana kita ada kawan antara kita ataupun dapat berjumpa dengan salah satu daripada mereka,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Santai Bersama Calon Parti Warisan Sabah di Kampung Ramayah, semalam.
“Saya mengaku saya sendiri tidak faham sebelum memasuki politik, jadi saya mengambil peluang untuk memasuki ke kawasan Pantai Timur dan saya ambil peluang untuk mengenali Mohd. Shafie Apdal, kebimbangan beliau dan masalah masyarakat di kawasan situ adalah sama, tiada beza dengan kita.
“Mereka juga tidak suka PTI. Mereka pun ada banyak masalah pekerjaan,industri, ekonomi dan segalanya. Yang mungkin masalah kita tidak ada adalah jarak antara negara Filipina dan Indonesia di Pantai Timur.
“Masalah mereka ini lebih mendalam tetapi mereka mulai menerima pemimpin-pemimpin ini tetapi masalah itu berterusan,”jelasnya.
Darell berkata, perpecahan turut berlaku disebabkan pemikiran dan sikap penduduk kawasan Pantai Barat yang bukan hanya mempunyai persepsi negatif terhadap penduduk di kawasan Pantai Timur seperti Semporna,Lahad Datu dan Kunak, bahkan penduduk ini juga hanya memikir dan mengambil kira sudut perspektif mereka sahaja.
Dalam pada itu, Darell berkata, Warisan dibentuk atas dasar ingin mencari permuafakatan sesama orang Sabah demi mencapai kesatuan yang utuh.