Darell Nafi Mesej Tular Keluar Warisan

PENAMPANG: Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Darell Leiking menafikan kenyataan tular bahawa beliau akan membuat pengumuman untuk meninggalkan Warisan.

Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau ingin menegaskan bahawa beliau kekal bersama Warisan dan tidak pernah terfikir untuk meninggalkan parti yang ditubuhkan bersama Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal serta rakan-rakan lain.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, Darell menyatakan inilah masalah cybertrooper politik yang suka membuat penipuan demi penipuan.

“Saya tidak pasti bagaimana mereka menjalani kehidupan dengan melakukan tuduhan tidak betul, mencipta penipuan seperti ditugaskan dan lebih penting, tidak berfikir bahawa perbuatan jahat mereka akan memberi kesan terhadap keluarga dan anak-anak mereka yang tidak bersalah.

“Mungkin sebab itu ada pilihan untuk menjadi baik mahupun jahat. Kebanyakan daripada kita memilih untuk menjadi baik dan belajar untuk memaafkan orang yang bertindak jahat sebegini.

“Walau siapa pun yang menghantar kenyataan berbaur penipuan sebegini, saya ingin menegaskan bahawa saya adalah ahli Warisan dan tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kapal yang saya bina bersama Shafie Apdal, rakan-rakan dan komrad yang lain,” katanya.

Kenyataan tular itu memaklumkan ‘Darell Liking difahamkan akan buat press menyatakan keluar Warisan. Kita sama-sama nantikan dengan tanda pagar #warisanterkubur.