Darell Leiking Mahu Tambahan Satu Kerusi DUN Di Penampang

Darell (lima kanan) bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong (empat kanan) bersama wakil-wakil mayor dari Malaysia serta wakil penganjur yang hadir dalam perasmian penutupan forum berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Melihat jumlah penduduk yang mencecah 100,000 orang di kawasan Penampang, Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking mahu satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diwujudkan di kawasannya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri ini berkata, jika dilihat di kawasan Parlimen lain seperti Papar, Putatan dan Sepanggar masing-masing akan mempunyai tiga kerusi DUN dengan adanya tambahan 13 kerusi baharu ini.

Malah, Kota Kinabalu sudah lama mempunyai tiga DUN. Hanya Penampang yang masih kekal dengan dua kerusi DUN (Moyog & Kapayan).

“Kita tidak minta semasa pembentangan usul di Dewan Rakyat sebab ia sudah diluluskan DUN Sabah semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Jadi langkah seterusnya adalah kita akan bincang dengan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri serta pemimpin lain untuk menambah kerusi Parlimen dan DUN, saya mahu satu kerusi DUN tambahan di Penampang.

“Penampang ada lebih 100,000 penduduk dan sudah tiba masanya kita mempunyai kerusi DUN tambahan supaya kita boleh mewakili mereka dengan lebih baik,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kelulusan 13 kerusi DUN Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Global Covernant of Mayors for Climate & Energy, di sini pada Sabtu.

Darell, yang juga Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, kelulusan 13 kerusi baharu itu satu perkara yang baik yang membolehkan Sabah maju ke hadapan.

Bagaimanapun, dalam menyokong kelulusan 13 kerusi DUN baharu itu, keperluan menambah kerusi Parlimen di Sabah perlu dibincangkan.

“Sepatutnya saya paling tidak gembira sebab saya kehilangan kawasan Lido yang mempunyai kira-kira 4,000 pengundi, kawasan itu antara pengundi kuat kita.

“Namun, saya menyokong usul itu kerana ia sesuatu yang baik.

“Buat masa ini, usul tambahan 13 kerusi DUN itu sudah diluluskan. Sekarang, kita hanya menunggu Dewan Negara memberi kelulusan sebelum ianya diwartakan,” ujarnya.

Ditanya mengenai pengagihan 13 kerusi tambahan itu, Darell berkata, sebagai kerajaan yang memerintah Sabah sudah tentu mereka (Kerajaan pimpinan Warisan) mahukan kesemua 13 kerusi berkenaan.

Kawasan cadangan 13 kerusi tambahan itu adalah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Pada Rabu, Dewan Rakyat meluluskan usul penambahan kerusi DUN Sabah daripada 60 kerusi kepada 73 kerusi.

Usul berkenaan diluluskan setelaha mendapat sokongan semua 158 yang hadir dalam perbahasan melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.