Darell Gesa Adakan Sesi Dialog Sebelum Laksana Pelan Tempatan Daerah

PENAMPANG: Pejabat Daerah Penampang diminta untuk mengadakan sesi dialog bagi mengambil kira pandangan masyarakat setempat mengenai Pelan Tempatan Daerah yang baharu.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking berkata, kejayaan sebuah pelan pembangunan hanya akan berlaku sekiranya suara dan pandangan masyarakat setempat diambil kira sebelum sebarang pelan dilaksanakan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar dua surat rasmi dan cadangan kepada Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong untuk mengadakan dialog awam secepat mungkin bagi membolehkan penduduk daerah ini menyuarakan pandangan mereka mengenai draf Pelan Tempatan Daerah Penampang yang baharu.

Menerusi sesi dialog, masyarakat setempat berpeluang menyuarakan pandangan mereka bagi menjayakan pelaksanaan Pelan Tempatan Daerah.

Adalah tidak adil untuk menyuarakan pandangan mereka melalui platform media sosial seperti Facebook mahupun Whataspp dengan meletakkan kain rentang yang kecil mengenai cadangan berkaitan pelan ini di Bulatan Sigah.

Jika dilihat Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Bab 141), Bahagian 1A, 4D (1), sebelum menyediakan draf Pelan Struktur akan dikemukakan oleh Menteri kepada Kabinet Negeri, pengarah perlu memastikan publisiti yang diberikan cukup meluas dengan membenarkan golongan yang akan terjejas menyuarakan bantahan dan pandangan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog berkata, bantahan itu perlu dilakukan kepada pihak pengarah dalam tempoh lima minggu dan draft Pelan Struktur perlu di terbitkan dalam dua akhbar tempatan agar pelan ini dapat dilihat oleh orang awam.
“Kami sudah menghantar dua surat rasmi kepada pegawai daerah pada 2 November lalu agar jawatankuasa terlibat dapat memperbaiki pelan tempatan sedia ada melalui sesi dialog yang diadakan.

“Wakil Pejabat Parlimen saya juga sudah mengadakan kunjungan hormat kepada pegawai daerah bagi memaklumkan tentang keperluan mengadakan sesi dialog,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kunjungan hormat itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Penampang, Robert Malangkig dan Penolong Pegawai Daerah, Stanley Sikolis.

Segala cadagan dikemukakan bagi menyediakan pelan yang lebih komprehensif kepada Jabatan Pengairan dan Saliran dalam usaha menangani masalah banjir yang berlaku di kawasan Parlimen ini termasuk Moyog dan Bundusan.

Darell berkata, usaha menyelesaikan masalah banjir kilat ini semakin kerap berlaku berikutan pelbagai faktor termasuk pembangunan tidak terancang yang mengakibatkan kesan banjir semakin teruk.

Selain masalah banjir, impak pencemaran, kesesakan lalu lintas dan perkhidmatan awam seperti kedudukan kawasan perindustrian dan perumahan yang begitu hampir juga perlu diberi perhatian.

Draf Pelan Struktur yang sedang dirangka perlu emngambil kira keadaan semasa termasuk kejadian banjir dan kerugian dialami akibat banjir.

Dalam pada itu, Darell juga mengemukakan cadangan untuk mengenal pasti kawasan untuk dijadikan hab pengangkutan awam dan kajian jaringan jalan raya untuk mengatasi kesesakan jalan raya yang semakin teruk di Penampang.

Rancangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk membangunkan Terminal Bas Utara dan Selatan juga perlu dimanfaatkan bagi memastikan Penampang juga dihubungkan dengan terminal berkenaan.

Disamping itu, pihaknya turut mencadangkan agar pusat akademik, hospital dan pusat kebudayaan akan dimasukkan dalam pelan tempatan. Malah, beliau juga mahu Pejabat Daerah mengenal pasti dan mewartakan kawasan hijau untuk mengawal aliran air hujan serta sistem perparitan Lebuh Raya Pan Borneo kerana tiada sebarang petanda sistem saliran akan dibina di sepanjang laluan lebuh raya berkenaan.

Tambahnya, langkah memanjangkan tempoh untuk orang ramai mengemukakan pertanyaan dan pandangan sehingga 18 Januari 2022 adalah tindakan yang baik bagi membolehkan Pejabat Daerah mengadakan sesi dialog di kawasan kampung dan bandar yang terlibat.

Orang ramai yang terjejas akibat Pelan Tempatan Daerah itu perlu mengemukakan aduan dan bantahan sekiranya kawasan tanah mereka terlibat. Aduan boleh dikemukakan kepada laman sesawang Majlis Daerah Penampang dan menerusi surat kepada Pegawai Daerah, Francis Chong.