Darell Gabungkan Visi Jenifer Dan Terence Untuk Bangunkan Moyog

JENNIFER TUGUNG MICHAEL

PENAMPANG: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Datuk Darell Leiking bakal mengabungkan visi dan misi beliau dengan dua penyandang kerusi DUN Moyog sebelum ini.

Darell berkata, aspirasi yang diperjuangkan oleh Jenifer Lasimbang dan Terrence Siambun sebelum ini akan digabungkan menjadi satu aspirasi Warisan di bawah DUN Moyog, Penampang dan Kapayan.

“Saya akan meneruskan apa yang dijanjikan oleh Terence bila kami menang pada 2013 lalu, malang sekali kami satu-satunya pembangkang pada ketika itu.

“Lepas itu, diteruskan oleh Jenifer yang juga pernah berjanji untuk memperjuangkan visi beliau terhadap Moyog di bawah Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum ini.

“Saya rasa saya boleh gabungkan kedua-dua aspirasi mereka dengan saya, kepada gabungan Warisan Penampang, Kapayan dan juga Moyog,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santai Bersama Calon Kapayan dan Calon Moyog di Buhavan Square, Donggongon, hari ini.

Sementara itu, Terence yang merupakan Bendahari Agung Warisan berkata, rakyat haruslah memberi mandat semula kepada bakal wakil rakyat itu demi meneruskan perancangan untuk membangunkan Moyog dan Penampang secara keseluruhannya.

“Memandangkan kita hanya ada dua tahun, saya berpendapat tiba masanya rakyat kembalikan mandat kepada kami iaitu kerajaan Warisan untuk mendapatkan Sabah sekali lagi dan untuk meneruskan apa yang kami rancangkan sebelum ini untuk Sabah termasuklah Penampang, Kapayan dan seterusnya,”ujarnya.

Sehubungan itu, Jenifer berkata, rakan seperjuangannya Darell merupakan seorang pemimpin yang berkebolehan , justeru pasukannya akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan Darell pada 26 September kelak.

“Kami akan kerja keras untuk memastikan beliau menang, kami tahu beliau merupakan seorang yang berkebolehan , kami tidak mahu biarkan beliau begitu sahaja.

“Kami mahu beliau di Moyog dan beliau ada banyak perkhidmatan yang baik untuk ditawarkan, kami gabung tenaga dan kita akan lihat sesuatu yang sangat luar biasa berlaku di Moyog,”jelasnya.

Tindakan Darell untuk menggabungkan visi dan misi dengan dua bekas ADUN Moyog itu bakal memantapkan lagi perancangan untuk membangunkan kawasan Moyog.