Darell Bidas Daily Express; Tegasnya Menteri Sering Bangkit Isu Sabah

Oleh DARELL LEIKING
KENYATAAN: Saya telah ditanya oleh wartawan mengenai apa yang PM katakan dan ditulis di Daily Express hari ini.

Saya kurang jelas tentang apa yang ditanya atau atas konteks apa wartawan terbabit bertanyakan PM, dan mengapa PM menjawab sedemikian. Atau mungkin juga PM sebenarnya mempunyai maksud yang sama dengan artikel yang ditulis.

Saya telah melihat banyak laporan yang tidak konsisten dengan maksud sebenar dan yang terkini mengenai Kereta Nasional Baharu. Untuk itu, saya akan cuba bertanya sama ada PM sememangnya bermaksud sedemikian ataupun wartawan telah tersalah tafsir jawapan PM.

Saya yakin, PM tidak lupa atau bukan tidak mendengar isu-isu yang dibangkitkan di Sabah mahupun Sarawak.

Hakikatnya, PM sentiasa terbuka dan menerima apa yang saya dan rakan-rakan bangkitkan di Kabinet, malah beliau sering mengingatkan saya supaya tidak hanya bercakap mengenai Sabah sahaja, tetapi Malaysia juga pada keseluruhannya.

Bagaimanapun saya ingin menegaskan bahawa memandangkan saya adalah wakil rakyat dari Sabah, sudah tentu keutamaan saya adalah mengenai isu-isu berkenaan negeri ini, dan pada masa yang sama saya juga melakukan yang terbaik untuk seluruh negara.

Saya juga percaya, PM dan rakan-rakan kita yang lain di dalam Kabinet sedar dengan apa yang saya atau pun rakan-rakan Sabah yang lain bangkitkan di setiap Mesyuarat Kabinet.

Malah, tuntutan mengenai RCI (IC Sabah) untuk dikuatkuasakan telah saya dan rakan-rakan yang lain bangkitkan berulang kali. YB Tan Sri Muhyiddin Yassin tahu mengenai perkara ini, bahkan rakan-rakan lain dalam Kabinet turut menjadi saksi tentang isu ini yang dibangkitkan dalam Kabinet.

Datuk VK Liew juga secara konsisten telah membangkitkan isu-isu mengenai Hak Sabah malah telah mewujudkan Jawatankuasa MA63 yang berada di bawah bidang kuasanya sebagai Menteri.

Saya dan rakan-rakan daripada Borneo khususnya Sabah dengan tegas menyangkal konteks pelaporan yang membuat kami kelihatan seolah-olah tidak pernah membangkitkan isu Sabah atau sebarang kebimbangan dalam Kabinet.

Dalam Kabinet sebelum ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan juga mesyuarat Kabinet terakhir yang dipengerusikan oleh PM, saya telah membangkitkan perkara isu mengenai “Tulisan Jawi” di mana saya memberi peringatan yang jelas bahawa Sabah dan Sarawak mungkin akan meminta Sukatan Pelajaran berasingan/berbeza bersesuaian dengan hak kami .

Saya juga menyatakan dengan tegas pendirian kami bahawa “Opsyen” yang sama diberikan kepada SJKT / SJKC dan juga kepada Sekolah Mubaligh (Bantuan Kerajaan).

Selain bercakap mengenai hak-hak Sabah dan isu-isu lain, kami juga sentiasa bercakap secara dua hala bukan sahaja kepada rakan-rakan lain di dalam Kabinet, bahkan juga bercakap terus kepada PM untuk penyelesaian segera mengenai perkara-perkara berkaitan dengan Sabah.

Mengenai isu UMS, Ketua Menteri dan saya sendiri telah membincangkan isu itu dengan Dr Mazlee secara langsung dan kami telah menyatakan pendirian kami untuk perkara itu.

Bagaimanapun, saya akan meminta penjelasan semasa mesyuarat kabinet yang akan datang mengenai apa yang dimaksudkan oleh PM dan konteks pelaporan yang dibuat.

*Darell Leiking ialah Ahli Parlimen Penampang dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia