Dapat Solat Jumaat Semula, Suatu Rahmat Buat Umat Islam

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Kebenaran mendirikan solat Jumaat, hari ini, selepas lebih dua bulan larangan pelaksanaannya ekoran Covid-19, disifatkan sebagai rahmat buat penduduk Islam di negara ini.

KHALID TAHIR

Pengerusi Masjid Al-Kauthar Tawau Khalid Tahir berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan Mufti dan Majlis Fatwa Negeri Sabah yang membenarkan solat berjemaah dan Jumaat di masjid dan surau.

“Bagi memastikan semuanya berjalan lancar dalam masa sama masih mengutamakan aspek kebersihan dan pencegahan penularan pandemik Covid-19, pihak masjid mengambil beberapa langkah perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Antaranya proses nyah kuman dilakukan sebelum solat Jumaat dilaksanakan, selain penggunaan cecair sanitasi, pelitup muka dan penjarakan sosial,” katanya.

M YAHYA

Sementara itu, seorang jemaah yang ditemui, M Yahya Muhammad, 70, berkata, kebenaran mendirikan solat Jumaat dan fardu secara bersyarat dilihat satu perkembangan positif ke arah keadaan kembali beransur pulih.

“Semoga langkah hari ini (kebenaran mendirikan solat berjemaah di masjid dan surau) menjadi permulaan untuk kehidupan lebih baik pada masa akan datang.

“Kita perlu bersyukur atas perubahan positif ini dan insyaAllah jika kita sentiasa bersyukur, Allah akan menambah rahmatNya berlipat kali ganda selepas ini,” katanya.

RAMADAN SUDIN

Perkara itu turut diakui Imam Masjid Al Kauthar, Ustaz Ramadan Suddin, yang meminta umat Islam di daerah ini bersabar dan mematuhi arahan yang diberikan kerajaan.

“Walaupun jumlah jemaah dihadkan, namun ia kaedah terbaik kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan wabak.

“Dalam hal ini, selain patuh kepada Allah dan rasul, umat Islam juga diminta taat kepada pemimpin atau Ulul Amri,” katanya.

Justeru, menurut Ramadan, langkah kerajaan dalam menentukan prosedur operasi standart (SOP) dan menghadkan jumlah jemaah adalah sesuatu yang perlu dipatuhi kerana ia membabitkan kepentingan awam.