Dapat Geran Tanah Umpama Mimpi Setelah Sekian Lama Menanti

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Kehadiran Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah dianggap satu anugerah bernilai buat penduduk di negeri ini.

Fazli Nang

Seorang penduduk yang ditemui, Fazli Nang, 32, berkata, dalam tempoh dua tahun mentadbir negeri, Mohd. Shafie berjaya memenuhi beberapa manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 terutamanya berhubung tuntutan pemilikan Geran Tanah Anak Negeri (NT).

“Bila diberikan geran NT hari ini, tentunya saya gembira kerana sudah lama menetap di situ.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi pemimpin seperti Ketua Menteri dan ini satu anugerah buat negeri Sabah,” katanya.

Junaidi Ingkun

Perkara itu turut disokong Junaidi Ingkun, 52, yang mahu Mohd Shafie teguh berdiri sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Masalah permohonan tanah di kampung kami sudah berlanjutan lebih 20 tahun.

“Terasa seperti bermimpi diberikan geran tanah oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Bagi Daramansah Lamasa, 47, pemberian tapak tanah di Kampung Tanjung Batu Otentik oleh Kerajaan Negeri menerusi Majlis Perbandaran Tawau dilihat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  yang mahu mangsa kebakaran di situ diberikan lot tanah baharu.

Daramansah Lamasa

“Dengan adanya geran ini, kami boleh membina kediaman masing-masing.

“Sebagai penduduk di sini, saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang diberikan semua pihak termasuk Yang di-Pertuan Agung dan Ketua Menteri,” katanya.

Sementara itu, Alias Salleh, 51, ketelusan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah tanah penduduk membolehkan kawasan mereka digazetkan sebagai kampung.

“Kerajaan Negeri sangat terbuka dalam perkara ini dan dapat menunaikan janji dalam tempoh setahun sahaja, iaitu selepas insiden kebakaran tersebut,” katanya.