DAP vs PBRS! ‘Siapakah Yang Bohong, Rakyat Semakin Sedar Tentang Hak Dan Politik

dap-sook2

OLEH FADILAH MICHAEL / SURAT:
Mengenai dengan kenyataan media di BorneoToday bertarikh hari ini (January12) menyiarkan pembohongan yang berulang dan nyata dari kepimpinan tertinggi PBRS melalui wakil-wakilnya mengenai status eletrik di kawasan Mukim Lanas dan Turusmadi, Pensiangan.

Kali ini beberapa kenyataan dari wakil-wakil kg dan ketua mukim turut sama bersekongkol dalam pembohongan tersebut. Reaksi mereka ini tidak mengejutkan DAP Pensiangan khususnya kerana sebelum ini mereka telah berulangkali melakukan provokasi terhadap kenyataan DAP biarpun kenyataan tersebut datang dari penduduk yang menetap disitu.

Sungguh malang bagi penduduk kampung yang dinafikan hak untuk bersuara dengan dilabelkan sebagai Pembohong hanya kerana mereka menyampaikan fakta yang sebenar kepada pihak DAP. Seharusnya wakil-wakil kampung yang dilantik menjadi mata dan telinga bagi kerajaan demi menjaga kebajikan rakyat dan bukannya menjadi agen untuk menutup kegagalan pihak kerajaan.

Ini jelas menunjukkan satu penindasan emosi bila memaksa rakyat untuk takut menyuarakan masalah dan menuntut hak kebajikan mereka dibela. Siapakah yang sebenarnya menanamkan sifat benci terhadap kerajaan?

Kenyataan Ketua Pemaju Mukim Alab, Lanas Alex @ Ismail Lamit yang kononnya DAP menanamkan kebencian rakyat terhadap kerajaan adalah tuduhan salah dan fitnah. Tuduhan yang sama sebelum ini telah ditujukan kepada ketua kepimpinan DAP Lim Kit Siang pada 8 Januari yang baru lalu melalui media.

Tuduhan ini telah diulas oleh YB Lim ketika berucap di pentas Dewan Hakka, Kota Kinabalu bersempena dengan Pelancaran Pakatan Harapan. Dalam ucapannya, YB Lim membidas kenyataan Tan Sri Kurup dan meminta beliau untuk tampil bersama bukti. Jika tidak YB Lim meminta Tan Sri Kurup untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Mungkinkah kenyataan wakil-wakil kampung ini juga adalah satu usaha Tan Sri Kurup untuk mengalihkan pandangan terhadap kenyataan fitnah beliau sendiri?

Ketika isu ketiadaan eletrik didalam 9 buah mukim itu diterbitkan, beberapa program DAP bersama Impian Malaysia sedang diadakan termasuklah di mukim Lanas iaitu Kg. Simbuan, Kg. Alab dan Sinaron. Ahli-ahli DAP yang terlibat turut merasa sendiri kesulitan penduduk kampung yang tidak memiliki bekalan eletrik ketika itu.

dap-sook1

Penduduk kampung terpaksa berkongsi eletrik melalui genset yang dipasang dan ditutup mengikut masa. Malah yang lebih tidak berkemampuan menggunakan pilasut untuk menerangi rumah mereka. Pengalaman saya sendiri yang bermalam di rumah Komuniti dalam kegelapan bertemankan lilin adalah satu bukti kukuh.

Kini setelah berbulan masa berlalu dan hampir sebulan kita berada ditahun baru, kini isu ini dibangkitkan semula dengan mesej seolah-olah kenyataan DAP mengenai isu eletrik baru diterbitkan kelmarin. Apakah motif sebenar pihak pentadbiran Tan Sri Kurup?

Pasti penduduk Kg. Tuawon masih ingat program sukan anjuran DAP Pensiangan pada tahun lalu. Wakil Ketua Anak Negeri, Tawok Tutoi yang menetap di Kg. Tuawon tentu tahu rancangan untuk menggagalkan anjuran sukan tersebut dengan alasan tidak dibenarkan pihak pembangkang menggunakan premis kerajaan.

Walaubagaimana pun anjuran sukan DAP berjalan dengan lancar dan menerima penyertaan lebih dari jangkaan. Ini jelas menunjukkan rakyat semakin sedar tentang hak dan politik. Kegelapan malam tanpa eletrik membuka mata dan hati penduduk Tuawon.

Apa yang nyata kenyataan demi kenyataan yang menuduh DAP berbohong sebenarnya hanya membuktikan kebohongan berulang oleh Tan Sri Kurup dan kuncu-kuncunya. Atas keperihatinan YB Stephen Wong isu ini telah dibawa ke dalam dewan parlimen yang akhirnya memaksa Tan Sri menyelesaikan isu bekalan eletrik ini dengan kadar segera.

Ini adalah satu kejayaan buat DAP kerana segala usaha selama ini mencapai sasaran. Tuduhan dan meminta permohonan maaf oleh Jining Lankang daripada YB Stephen Wong kepada Tan Sri adalah sangat tidak wajar. Manakala dengan menyatakan agar DAP menjaga kawasan di Semenanjung adalah berbau rasis dan jelas bertentangan dengan amalan Demokrasi di negara ini.

Sekali lagi, ‘Siapakah yang menanamkan kebencian terhadap kerajaan dan membawa idealogi politik sempit?’. Bukan DAP tapi kepimpinan kerajaan sendiri akibat dari kegagalan dan kepincangan kerajaan menangani masalah dan isu rakyat.

Walaubagaimana pun, DAP memuji diatas kejayaan kerajaan dan khususnya Tan Sri Kurup sebagai wakil Parlimen Pensiangan atas pembangunan dan infrastruktur yang di nikmati oleh rakyat Pensiangan.

Sebagai sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat , sudah menjadi tugas wakil-wakil kerajaan untuk melaksanakan tugas dan menjaga kebajikan rakyat dengan baik dan amanah.

Seharusnya segala isu yang dikemukan harus ditangani dengan baik dan berhemah walaupun isu itu dikemukan oleh pihak parti pembangkang. Bukannya dengan menimbulkan provokasi dan pembohongan.

Sebagai negara yang demokrasi, kebebasan bersuara haruslah dipraktikkan dengan cara yang betul dan samarata. Janganlah memberi mesej kepada rakyat seolah-oleh hanya orang tertentu sahaja yang boleh bersuara.

Jika pihak kerajaan mahu menerima pujian maka seharusnya juga mampu menerima teguran kerana kerajaanlah yang bekerja untuk rakyat.

Berani Ubah

  • Fadilah Michael adalah Setiausaha Publisiti DAP Sook, Pensiangan